| Universiti Putra Malaysia

SAYURAN BERIKLIM SEJUK BOLEH DITANAM DI TANAH RENDAH BERCUACA PANAS

Ringkasan Artikel

Malaysia mengimport sebahagian besar sayur-sayuran tanaman beriklim sejuk dari beberapa negara...

**Artikel ini diterbitkan di dalam Bahasa Melayu dan tiada terjemahan di dalam Bahasa Inggeris**

Oleh Dr. Wan Fazilah Fazlil Ilahi

Malaysia mengimport sebahagian besar sayur-sayuran tanaman beriklim sejuk  dari beberapa negara seperti China, India dan juga Australia.

Sayuran beriklim sejuk seperti salad romaine, butterhead lettuce juga buah-buahahan seperti strawberi ditanam di kawasan beriklim sejuk dengan suhu udara di antara 18 - 21°C.

Sebagai alternatif kepada kebergantungan sayuran dan buah-buahan import, penanaman sayuran dan buah-buahan beriklim sejuk melalui kaedah penyejukan zon akar dapat memberi hasil tanaman setanding dengan tanaman dari kawasan beriklim sejuk.

Kaedah penyejukan zon akar boleh ditakrifkan sebagai mekanisma penyejukan di sekitar kawasan akar tumbuhan. Tumbuhan beriklim sejuk paling sesuai ditanam pada julat suhu tanah antara 15 - 20°C.

Suhu zon akar juga mempunyai pengaruh yang lebih besar terhadap pertumbuhan tumbuhan berbanding dengan suhu persekitaran.

Pada masa ini, penanaman sayuran dan buah-huahan beriklim sejuk di Malaysia tertumpu di kawasan tanah tinggi seperti di Cameron Highland dan Genting Highland.

Walaubagaimanapun tanah yang terhad di kawasan tanah tinggi serta kos logistik dan penyimpanan lepas tuai boleh meningkatkan harga pasaran tumbuhan ini.

Penggunaan rumah hijau yang persekitarannya dikawal sepenuhnya selain menyebabkan peningkatkan pemanasan global juga memerlukan modal dan penyelenggaran yang besar.

Aplikasi penyejukan zon akar di dalam media tanaman dapat bertahan dalam iklim panas dengan membekalkan suhu sejuk ke kawasan zon akar melalui saluran paip di bawah permukaan media. Air terlebih dahulu disejukkan di dalam tangki menggunakan unit penyejuk seperti aircond dan disalurkan ke dalam media tanaman melalui paip.

Paip ditanam beberapa sentimeter di bawah permukaan media berhampiran dengan akar pokok. Air sejuk yang mengalir di dalam paip akan menyejukan kawasan akar pokok melalui pemindahan haba.

Dalam satu kajian yang dijalankan oleh penyelidik UPM, kaedah penyejukan zon akar ini telah berjaya menurunkan suhu media tanaman dari 29°C kepada 11°C untuk salad butterhead yang ditanam di dalam media sabut kelapa. Projek ini dijalankan di bawah rumah teduhan hujan di kawasan landskap Fakulti Kejuruteraan UPM.

Walaubagaimanapun, apabila salad ini ditanam di dalam media yang sama tanpa penyejukan zon akar, tumbuhan ini tidak dapat bertahan, layu dan mati.

Secara fisiologinya, tumbuhan beriklim sejuk ini tidak dapat bertahan hidup pada suhu panas tetapi hidup di dalam kawasan zon akar yang sejuk.

Aplikasi penyejukan zon akar ini tidak hanya terhad kepada tumbuhan sayur-sayuran sahaja malah tumbuhan buah-buahan seperti srawberi juga boleh ditanam menggunakan kaedah ini.

Bagi setiap jenis tumbuhan, paip yang membawa air sejuk boleh di alihkan kedudukannya mengikut kawasan zon akar tumbuhan. Selain daripada penggunaan paip, penyejukan zon akar boleh juga diaplikasi kepada kaedah penanaman hirdoponik, aeroponik dan fertigasi di mana air baja disejukkan.

Terdapat banyak kelebihan penggunaan kaedah penyejukan zon akar ini selain daripada meningkatkan ekonomi petani dengan menanam tumbuhan berniai tinggi di tanah rendah.

Antaranya ialah pembekal dapat menyalurkan tumbuhan beriklim sejuk ini pada kos rendah kerana kos logistik dapat dikurangkan. Kebergantungan pada sayuran dan buah-buahan import juga dapat dikurangkan sekiranya kaedah ini dapat dikomersialkan penggunaannya.

Penggunaan keseluruhan kos dan tenaga di dalam sistem penyejukan rumah hijau adalah lebih tinggi berbanding dengan kaedah penyejukan zon akar yang tidak memerlukan rumah kawalan tertutup.

Kaedah ini boleh digunakan di persekitaran luar dengan hanya menggunakan bumbung perlindungan hujan untuk mencegah kerosakan tanaman dari hujan lebat.

Komuniti bandar juga boleh mengaplikasikan tenik penyejukan zon akar ini sebagai amalan pertanian bandar bagi membantu kos sara hidup.  

Secara kesimpulannya, tumbuhan beriklim sejuk boleh ditanam di tanah rendah Malaysia yang beriklim panas dan lembap sepajang tahun melalui kaedah penyejukan zon akar.

Selain memberi hasil setanding dengan hasil tanaman dari tanah tinggi dan negara beriklim sejuk, ianya dapat mengurangkan kebergantungan kepada sayuran dan buah-buahan import.

Dr. Wan Fazilah Fazlil Ilahi

Jabatan Teknologi Pertanian

Fakulti Pertanian

SXESKAx~