Manifestasi Kejayaan 50 Tahun Platform Merencana Lonjakan Masa Depan | Universiti Putra Malaysia
» ARTICLE » Manifestasi kejayaan 50 tahun platform merencana lonjakan masa depan

Manifestasi kejayaan 50 tahun platform merencana lonjakan masa depan

Article Summary
Universiti Putra Malaysia (UPM) kini antara Universiti Penyelidikan terulung di tanah air dan semakin mengukir nama di persada antarabangsa, namun perlu terus fokus seiring tuntutan globalisasi, ekonomi digital dan pasca COVID-19, dengan menggubal model pencapaian dan kejayaan baharu, untuk meneruskan kejayaan gemilang.


Oleh: Azman Zakaria

SERDANG: Universiti Putra Malaysia (UPM) kini antara Universiti Penyelidikan terulung di tanah air dan semakin mengukir nama di persada antarabangsa, namun perlu terus fokus seiring tuntutan globalisasi, ekonomi digital dan pasca COVID-19, dengan menggubal model pencapaian dan kejayaan baharu, untuk  meneruskan kejayaan gemilang.

Manifestasi pelbagai kejayaan yang ditempa dalam usia 50 tahun sebagai universiti perlu dijadikan platform lonjakan dalam merencana langkah bagi terus menyasarkan pencapaian prestasi tinggi daripada segi nilai graduan, hasil penyelidikan dan sumbangan kepada masyarakat.

Ahli akademik dan alumni UPM sependapat Sambutan Jubli Emas 50 Tahun UPM wajar diraikan sebagai menghargai aspirasi kecemerlangan dan kejayaan semua pihak dalam pembangunan UPM, mengenang kembali sejarah penubuhan universiti dan menjadikannya sebagi pencetus semangat untuk terus membangun ke arah pencapaian lebih tinggi.

Bekas Timbalan Naib Canselor  (Akademik dan Antarabangsa) UPM, Prof. Datuk Dr. Mad Nasir Shamsudin berkata, harapan pihak berkepentingan terhadap pengajian tinggi adalah besar yang meliputi pembangunan sumber manusia yang boleh memberi ‘reason well,’ menjana inovasi berdasarkan penyelidikan yang membawa kepada pengkomersialan dan penciptaan kekayaan serta meningkatkan kesejahteraan masyarakat

Beliau yang juga Alumni tahun 1978 berkata, UPM perlu bersedia untuk memberikan sumbangan yang diharapkan itu terutama dalam menjamin sekuriti makanan negara. Jelasnya lagi, pertanian yang begitu sinonim dengan UPM tetap menjadi bidang tujahan, meskipun di sebalik pertukaran namanya daripada ‘pertanian’ kepada ‘putra’.

“Sebenarnya UPM tidak pernah meninggalkan bidang pertanian. Bahkan UPM terus memberi fokus kepada pemodenan sektor pertanian yang bukan hanya tertumpu kepada pengeluaran tetapi keseluruhan rantaian nilai,” katanya.

Bermula dengan tiga fakulti asas - Fakulti Pertanian, Fakulti Perhutanan, dan Fakulti Kedoktoran Veterinar dan Sains Penternakan – pada 1971, UPM kini mempunyai 14 fakulti dan 10 institut dalam pelbagai bidang. Tujuh daripada fakulti itu dan enam daripada institut itu memberi tumpuan kepada penyelidikan pertanian.

Menurutnya, kewujudan fakulti dan institut lain menjadi pelengkap kepada fakulti dan institut yang berteraskan pertanian sesuai dengan kemajuan ilmu yang merentas disiplin dan mewujudkan sinergi tinggi. Skop pertanian juga berubah daripada hanya berorientasikan pengeluaran kepada berorientasikan keseluruhan rantaian nilai.

Selain bilangan fakulti dan institut penyelidikan yang berteraskan pertanian, tiga   pusat perkhidmatan - Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), Taman Pertanian Universiti (TPU), dan Hospital Universiti Haiwan (UVH) - memberi tumpuan kepada aktiviti pertanian.

“Tagline UPM ‘Pertanian. Inovasi. Kehidupan’ jelas memperkatakan UPM adalah ‘custodian’ dan memainkan peranan utama dalam pendidikan pertanian di negara kita,” katanya.

Beliau juga berkata, penawaran bidang pengajian baharu tidak bermakna kepentingan bidang pertanian telah terhakis, sebaliknya bidang pengajian baharu itu menjadi pelengkap kepada kekuatan bidang pertanian.    

Untuk memperkasakan lagi sumbangan kepada bidang pertanian ekoran sangat kecil bilangan graduan UPM terutama graduan pertanian menceburi kerjaya usahawantani pada masa ini, katanya, usaha perlu dipertingkatkan bagi menerapkan ciri-ciri usahawantani kepada pelajar yang berminat dan cenderung terhadap kerjaya itu.

Pengarah Rhone M Holdings Bhd, Dr Lim Ban Keong, yang juga alumni UPM, berkata beliau berbangga dengan pencapaian yang dikecapi UPM, terutamanya memperkukuhkan reputasi di peringkat antarabangsa dan pengiktirafan oleh pelbagai badan penarafan.

Katanya, UPM semakin dikenali bukan sahaja dalam negara, malah di peringkat antarabangsa melalui usaha Penyelidikan  dan Pembangunan (R&D), sumbangan warga UPM kepada masyarakat serta inisiatif UPM dalam menjalinkan kerjasama rapat dengan sektor komersial untuk melahirkan modal insan berkualiti dan berdaya saing.

“Daripada segi bioteknologi, saya yakin UPM boleh membantu industri kesihatan dan nutrisi haiwan Malaysia dengan memperbaiki penyelesaian inovatif yang sedia ada sama ada melalui pengeluaran produk baharu atau aplikasi terbaharu,” katanya sambil menyarankan agar UPM lebih menerokai kerja-kerja R&D dalam segmen vaksin untuk manusia serta haiwan.

Dr Lim yang juga Ahli Lembaga Yayasan Pak Rashid UPM berkata inisiatif UPM yang menjalinkan kerjasama dengan melibatkan alumni yang pakar dalam bidang tersendiri dan pemain industri utama banyak menyumbang kepada kejayaan dalam bidang penyelidikan.

“Saya sarankan agar diperbanyakkan usaha kerjasama dengan sektor komersial untuk mewujudkan lebih banyak perkongsian pengetahuan dan kemahiran antara kedua-dua pihak. Inisiatif lain yang boleh diterokai adalah jalinan kerjasama bersama pakar dan syarikat multinasional di luar negara yang sekaligus boleh memberi faedah kepada pemain industri sektor komersial,” katanya.

Pesara guru dan alumni UPM, Noorizan Mohammed berkata, untuk UPM mengekalkan keunggulannya di persada dunia, seluruh warga universiti perlu sederap berusaha dan komited menjayakan lapan matlamat yang ditetapkan oleh UPM bagi merealisasikan Wawasannya.

Katanya, tenaga pengajar dan pelajar perlu sentiasa meningkatkan pengetahuan, kemahiran dan kualiti penyelidikan seiring dengan kepesatan transformasi pendidikan di era globalisasi ini terutama ketika pandemik COVID-19 yang memerlukan semua pihak celik teknologi maklumat (IT savvy), bersesuaian dengan moto universiti ‘Berilmu Berbakti’.

Noorizan yang juga Tokoh Guru Kebangsaan 2021 berkata beliau amat gembira menjadi sebahagian daripada UPM, lebih-lebih lagi beliau, suami, dua anak mereka, dan menantu adalah lepasan UPM.

Katanya, untuk beliau sampai ke peringkat sehingga terpilih sebagai Tokoh Guru  bukan mudah, dan ia bermula dari hari pertama menjadi guru sehingga hari ini, termasuk menrefleksi segala pengetahuan, kemahiran dan pengalaman yang dilalui setiap hari, keinginan untuk berubah (sebagai agent of change), kaizen/continuous improvement dan pembelajarna sepanjang hayat, komunikasi berkesan dan sikap sabar di dalam menghadapi rintangan.

Pendaki Gunung Everest, Ravichandran Tharumalingam berkata semangat yang membawa beliau sehingga berjaya mendaki ke puncak tertinggi dunia Gunung Everest pada 2006 sekaligus meletakkan dirinya di dalam Malaysia Book of Records sebagai Pendaki Gunung Everest Solo negara  adalah hasil pembentukan diri serta budaya budaya positif yang diterapkan semasa di UPM.

Ravichandran yang juga Pengarah Urusan Easewise Management Sdn. Bhd berkata, setelah berada di puncak Gunung Everest berketinggian 8,848m (29,032 kaki) itu dan pulang ke tanah air, beliau sedar bahawa cara kerja yang ada pada dirinya sangat membantu dalam kerjaya di bidang perniagaan dan sebagai pendaki gunung professional.

“Saya sedar, setiap detik kejayaan saya sangat berkait rapat dengan kehidupan saya sebagai penuntut di UPM selama lima tahun (1985-1990). Saya bangga menjadi alumni UPM dan akan terus menggunakan semua aspek ini untuk pencapaian yang lebih tinggi dimasa akan datang.

“Apabila saya renung semula projek lima tahun untuk sampai ke puncak Gunung Everest, saya sedar bahawa kepemimpinan, budaya kerja, disiplin dan semangat menerima cabaran yang ada pada saya, semuanya datang daripada penglibatan dalam aktiviti kokurikulum semasa di UPM, seperti mewakili pasukan bola sepak, UPM dari tahun 1985-1990, dan mewakili pasukan bolasepak Universiti Malaysia di kejohanan Sukan Universiti ASEAN 1986 di Singapura dan 1988 di Thailand,” katanya.

Beliau berkata, UPM mesti terus menghasilkan graduan yang berkualiti tinggi bukan sahaja dalam akademik tetapi juga mempunyai sifat berani menempuh cabaran dalam semua aspek kehidupan. - UPM

Date of Input: 12/11/2021 | Updated: 12/11/2021 | hairul_nizam

MEDIA SHARING

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
CVBcBAf:01:36