Oleh Noor Eszereen Juferi
SERDANG, 28 Ogos – Universiti Putra Malaysia (UPM) terus menyerlah dalam landskap penyelidikan universiti awam apabila enam pegawai penyelidiknya meraih enam kategori Anugerah Kecemerlangan Penyelidikan Malaysian University Research Officers Society (MROS) 2026 sempena Research Officers National Symposium (ReONS) 2026, baru-baru ini.
Pengiktirafan tersebut membabitkan pegawai penyelidik daripada Institut Perhutanan dan Produk Hutan (INTROP), Institut Penyelidikan Matematik (INSPEM), Institut Pertanian dan Teknologi Makanan (ITAFoS) serta Fakulti Kejuruteraan (FK) mencerminkan kepelbagaian kepakaran dan kecemerlangan penyelidikan UPM dalam bidang sains, teknologi dan sains sosial.
Enam pegawai penyelidik UPM yang menerima pengiktirafan antaranya Dr. Ahmad Adlie Shamsuri (INTROP) bagi kategori Penyelidik Prolifik, Dr. Chin Kit Ling (INTROP) bagi kategori Hak Cipta, Dr. Mohamed Faris Laham (INSPEM) bagi kategori Penulisan Media dan Media Sosial dan Emmy Farha Alias (ITAFoS) bagi kategori Geran Penyelidikan Kebangsaan (Sains Sosial).
Sementara itu, Dr. Ezrin Mohd Husin dari FK mencatat pencapaian berganda apabila memenangi dua kategori, iaitu Kecemerlangan Penyelidikan Utama (Sains dan Teknologi) serta Geran Penyelidikan Industri.
Selain enam pengiktirafan tersebut, Emmy Farha dari ITAFoS turut mengharumkan nama UPM apabila dinobatkan sebagai pemenang pembentangan terbaik bagi kategori Research Management and Social Science.
Beliau membentangkan kertas kerja bertajuk Identifying Key and Strategic Sub-sectors in Malaysian Agriculture: An Input-Output Analysis yang mengenal pasti subsektor utama dan strategik dalam sektor pertanian Malaysia serta menilai hubungan saling kebergantungan ekonomi antara subsektor berkenaan bagi menyokong pertumbuhan sektor pertanian pada masa hadapan.
Pencapaian itu membuktikan peranan strategik pegawai penyelidik UPM bukan sahaja dalam penghasilan penyelidikan berkualiti, malah turut merangkumi pengurusan penyelidikan, penghasilan harta intelek, perolehan geran, pengkomersialan serta penyebarluasan ilmu kepada masyarakat.
Dalam pada itu, ReONS 2026 berlangsung pada 12 hingga 13 Ogos 2026 di Universiti Sains Malaysia (USM) dan dianjurkan bersama USM, MROS, Persatuan Pegawai Penyelidik USM serta Persatuan Pegawai Sains USM.
Sempena ReONS 2026, sebanyak 39 Anugerah Kecemerlangan Pegawai Penyelidik Universiti Malaysia disediakan oleh MROS bagi menghargai dan mengiktiraf kecemerlangan serta sumbangan pegawai penyelidik universiti awam dalam pelbagai aspek, termasuk penyelidikan, penerbitan, geran penyelidikan, harta intelek, pengkomersialan, khidmat profesional dan kepimpinan penyelidikan.



.jpg)


