
Oleh: Aimi Mohamad Farid
Foto: Saleha Haron
SERDANG, 4 Ogos - Sebanyak 31 kediaman komuniti Orang Asli di Kampung Melai, Tasik Chini menerima sistem penuras air menerusi program Water4Malaysia 1.0, inisiatif Universiti Putra Malaysia (UPM) yang menggabungkan pemindahan ilmu, penyelidikan dan pemantauan berkala bagi meningkatkan akses penduduk kepada air bersih.
Dilaksanakan dengan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UPM, program itu turut melibatkan pemantauan selama setahun bagi menilai kualiti air, keberkesanan sistem penapisan serta impaknya terhadap kesihatan dan kesejahteraan komuniti.
Ketua Projek Kajian Keberkesanan Inisiatif Akses Air Bersih (PKIAB) 2026–2027 merangkap penasihat Water4Malaysia 1.0, Prof. Madya Dr. Nor Rohaizah Jamil berkata inisiatif tersebut dirangka sebagai usaha jangka panjang untuk meningkatkan sekuriti air komuniti Orang Asli di Kampung Melai.
“Air bersih bukan sahaja penting untuk diminum, malah menjadi asas kepada kesihatan, keterjaminan makanan, pendidikan, kegiatan ekonomi dan kesejahteraan komuniti yang menjadikan Tasik Chini sebagai sumber kehidupan mereka.
“Justeru, program ini turut disokong oleh penyelidikan yang merangkumi pemantauan kualiti air, penilaian keberkesanan sistem penapisan serta penelitian terhadap impaknya kepada kesihatan dan kesejahteraan penduduk,” katanya.

Sistem penuras yang dipasang melengkapi sistem air tandak yang digunakan oleh penduduk, sekali gus menyediakan kaedah rawatan tambahan bagi meningkatkan kualiti air untuk kegunaan harian.
Pengarah Water4Malaysia 1.0, Brendon Lew Jeen Fai berkata program berkenaan tidak terhenti pada pemasangan sistem penuras, sebaliknya disusuli pemantauan berkala bagi memastikan manfaatnya dapat dinilai secara menyeluruh.
“Program ini bukan sekadar memasang sistem penuras air. Kami akan kembali menjalankan pemantauan secara berkala bagi mengumpul data berkaitan kualiti air dan impaknya terhadap kesejahteraan komuniti,” katanya.
Selain pemasangan sistem penuras, program tersebut merangkumi ceramah kesedaran mengenai pengurusan air, sesi World’s Largest Lesson serta pengumpulan data asas sebagai sebahagian daripada kajian keberkesanan inisiatif akses air bersih berkenaan.
Timbalan Pengarah (Pengembangan Pertanian), Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) UPM, Prof. Dr. Norsida Man berkata program itu menterjemahkan motto UPM, “Berilmu Berbakti”, melalui penerapan ilmu dan hasil penyelidikan yang memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat.

“Kita berharap inisiatif ini dapat menyumbang kepada kehidupan yang lebih sihat, sejahtera dan lestari bagi warga Kampung Melai, seterusnya berpotensi diperluas sebagai contoh kepada komuniti lain,” katanya.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Kampung Orang Asli Melai (JPKKOA), Yeoh Chee Ming pula berkata inisiatif tersebut membantu komuniti memperoleh air yang lebih berkualiti, sekali gus menyokong keperluan kesihatan dan kehidupan harian penduduk.
Ahli Dewan Negeri Chini, Dato’ Mohd Sharim Md. Zain turut menyempurnakan gimik perasmian sebagai simbolik pelaksanaan Water4Malaysia 1.0 di kampung berkenaan.

Program tersebut dijayakan menerusi kerjasama Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar UPM, UCTC UPM, Pusat Penyelidikan Tasik Chini, NXP Malaysia, MPP UPM serta komuniti Orang Asli Kampung Melai.
Kerjasama rentas sektor itu memperlihatkan peranan UPM dalam menghubungkan kepakaran akademik, penyelidikan dan penglibatan mahasiswa bagi menghasilkan penyelesaian berasaskan keperluan komuniti di Tasik Chini, Rizab Biosfera UNESCO pertama di Malaysia.



.jpg)


