
Oleh: Zarith Sofea Ibrahim
Foto oleh: Mozaid Idris
SERDANG, 10 Jun – Universiti Putra Malaysia (UPM) terus memperkukuh agenda pengkomersilan hasil penyelidikan menerusi pemeteraian tiga perjanjian pelesenan teknologi bersama Biogenes Technologies Sdn. Bhd, AU Synergy Sdn. Bhd. dan Wilmar Agrifert Marketing Sdn. Bhd.
Perjanjian pelesenan tersebut melibatkan teknologi yang dibangunkan oleh penyelidik UPM dalam bidang kesihatan dan pertanian, sekali gus mencerminkan komitmen universiti dalam memperluas pemindahan teknologi kepada industri serta meningkatkan impak penyelidikan kepada masyarakat.
Kerjasama bersama Biogenes Technologies Sdn. Bhd. melibatkan teknologi kit ujian tuberkulosis (TB) yang berupaya mengesan bakteria penyebab penyakit TB dalam tempoh sekitar lima hingga 10 minit, sekali gus menyokong usaha saringan dan pengesanan awal penyakit berjangkit.

Sementara itu, perjanjian bersama AU Synergy Sdn. Bhd. melibatkan teknologi moluskisid organik dan biostimulan pertumbuhan tanaman berasaskan bahan semula jadi yang berfungsi mengawal siput perosak serta meningkatkan kesihatan tanaman.
UPM turut menandatangani perjanjian pelesenan dengan Wilmar Agrifert Marketing Sdn. Bhd. bagi dua teknologi mikrob tempatan yang berpotensi digunakan sebagai agen kawalan biologi dan baja biologi untuk meningkatkan kesihatan serta produktiviti tanaman padi secara mampan.

Ketiga-tiga perjanjian ini mencerminkan usaha berterusan UPM dalam memperkasa pengkomersilan inovasi dan memperkukuh kerjasama strategik dengan industri bagi menyokong pembangunan sektor kesihatan dan pertanian negara.






