| Universiti Putra Malaysia

UPM perkukuh keterlihatan menerusi kolaborasi strategik Festival Wind Orchestra SBP 2026

 

 

Oleh: Noor Eszereen Juferi

Foto Oleh: Mozaid Idris

 

SERDANG, 13 Ogos - Universiti Putra Malaysia (UPM) menerusi Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PKKSSAAS) buat julung kalinya menjalinkan kolaborasi strategik dengan Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh menerusi penganjuran Festival Wind Orchestra Sekolah Berasrama Penuh (SBP) 2026 bagi memperkukuh keterlihatan UPM sebagai institusi pendidikan tinggi yang komited dalam memperkasa pembangunan bakat, seni dan budaya dalam kalangan generasi muda.

 

Kolaborasi tersebut bukan sekadar menyediakan lokasi penganjuran pertandingan malah membuka ruang kepada UPM untuk memperkenalkan ekosistem pendidikan, kepakaran serta kemudahan universiti kepada pelajar SBP yang mempunyai potensi besar dalam bidang akademik, kepimpinan dan kokurikulum.

 

Pengarah PKKSSAAS, UPM, Husalshah Rizal Hussian, berkata penganjuran program itu menjadi platform strategik untuk meningkatkan keterlihatan UPM dalam kalangan pelajar SBP serta membina jaringan kerjasama yang lebih luas antara universiti dan sekolah berasrama penuh.

 

“Ini merupakan satu ruang dan peluang untuk UPM meningkatkan keterlihatan dalam kalangan pelajar SBP dan mereka merupakan antara kelompok pelajar yang mempunyai pencapaian dan potensi tinggi.

 

“Kita mahu mereka mengenali UPM dengan lebih dekat, bukan sahaja dari sudut akademik tetapi juga dari aspek seni, budaya, kemahiran dan pengalaman kehidupan kampus,” katanya.

 

Tambah beliau, pendedahan secara langsung terhadap persekitaran UPM melalui program seperti itu secara tidak langsung dapat membuka minat pelajar SBP untuk mempertimbangkan UPM sebagai destinasi pengajian tinggi pada masa hadapan.

 

“Apabila mereka datang ke kampus, menggunakan fasiliti universiti dan berinteraksi dengan warga UPM mereka dapat merasai sendiri suasana serta kelebihan yang ada. Ini boleh menjadi salah satu pendekatan untuk menarik minat mereka melanjutkan pengajian di UPM,” katanya.

 

Husalshah Rizal berkata, PKKSSAAS UPM juga berhasrat untuk memainkan peranan yang lebih besar sebagai hab rujukan dan perkongsian kepakaran dalam bidang muzik, seni persembahan dan kebudayaan khususnya kepada institusi pendidikan.

 

“Kita mahu penganjuran ini menjadi langkah pertama kepada kolaborasi yang lebih komprehensif, termasuk perkongsian kemahiran, kepakaran, produksi persembahan serta pengurusan acara seni dan budaya,” katanya.

 

Beliau berkata kolaborasi sulung itu memberikan impak positif kepada kedua-dua pihak dan berpotensi dikembangkan kepada bidang lain yang mempunyai kepentingan bersama.

 

“SBP bukan hanya mempunyai program orkestra mereka juga aktif dalam pelbagai bidang seperti perbahasan, tarian, seni budaya dan inovasi. Jadi, kita boleh jadikan ini sebagai titik permulaan untuk meneroka bentuk kerjasama yang lebih luas antara SBP dan UPM,” katanya.

 

Sementara itu, Pengelola Sekolah Sultan Alam Shah, Putrajaya, Haslinda Abu Hassim, berkata Festival Wind Orchestra SBP 2026 yang telah berlangsung pada 11 hingga 13 Ogos 2026 merupakan program tahunan di bawah Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh yang menghimpunkan penyertaan sekolah SBP dari seluruh negara.

 

“Daripada 73 SBP yang terdapat di Malaysia, sebanyak 18 sekolah yang mempunyai pasukan wind orchestra mengambil bahagian dalam pertandingan tahun ini.

 

“Pertandingan ini merupakan program peringkat kebangsaan dan dianjurkan setiap tahun.dan kami melihat PKKSSAAS UPM sebagai tempat yang sangat sesuai untuk menganjurkan pertandingan ini,” katanya.

 

Beliau berkata, penganjuran di UPM merupakan pengalaman baharu bagi pihak SBP dan mendapat sambutan serta kerjasama yang sangat baik daripada universiti sejak peringkat awal perancangan sehingga program berlangsung.

 

“Kami sebelum ini belum pernah menganjurkan pertandingan ini di UPM sebelum ini dan amat berbesar hati kerana UPM mengalu-alukan kehadiran kami. Dari segi kerjasama dan komitmen UPM memberikan sokongan yang sangat baik dan tempat ini sememangnya sesuai untuk program seperti ini,” katanya.

 

Beliau turut berharap jaringan kerjasama yang terjalin menerusi program ini dapat diteruskan dalam program-program SBP pada masa akan datang.

 

“Harapan kami supaya jaringan ini tidak terhenti di sini dan mungkin kita oleh teruskan kerjasama dalam program akan datang di bawah SBP atau Sekolah Sultan Alam Shah sendiri dengan UPM dalam bidang yang lebih luas,” katanya.

 

Dalam pada itu, sepanjang penganjuran festival, UPM turut memberikan sokongan dari aspek logistik, penyediaan tempat, produksi serta perkongsian ilmu kepada peserta dan pihak sekolah.

 

Sebagai kemuncak kolaborasi, UPM bersama pihak SBP turut mengadakan sesi perkongsian ilmu bertajuk “Celik Seni Budaya” pada majlis penutupan program bagi memperkukuh peranan PKKSSAAS, UPM sebagai platform perkongsian ilmu dan kepakaran dalam bidang seni dan budaya.

 

XZJMGAm~