Oleh: Noor Eszereen Juferi
SERDANG, 3 Ogos – Universiti Putra Malaysia (UPM) terus memperkukuh kedudukannya sebagai institusi pendidikan tinggi bertaraf global apabila mengetuai usaha memperluas kerjasama strategik dalam bidang pendidikan pintar, pendigitalan pembelajaran dan kecerdasan buatan (AI) menerusi lawatan kerja rasmi ke Wilayah Guizhou, China sempena Minggu Kerjasama Pendidikan China-ASEAN (China-ASEAN Education Cooperation Week, CAECW) 2026, baru-baru ini.
Inisiatif ini juga sejajar dengan aspirasi Pelan Pemacu Kesohoran Global Putra 2026–2035
yang memberi penekanan kepada pemerkasaan jaringan antarabangsa, kecemerlangan akademik dan penyelidikan serta pengukuhan reputasi UPM sebagai universiti berimpak global melalui kerjasama strategik dengan institusi terkemuka dunia.
Delegasi UPM diketuai oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), UPM, Profesor Ir. Dr. Abd Rahim Abu Talib yang menyertai program berprestij itu bersama pemimpin institusi pengajian tinggi dan pembuat dasar dari negara ASEAN dan China.
Bertemakan “Leveraging Smart Education, Building an Amicable Homeland”, CAECW 2026 menjadi platform utama memperkukuh jaringan pendidikan rentas sempadan melalui penggunaan teknologi digital, inovasi dan kecerdasan buatan bagi melahirkan ekosistem pembelajaran yang lebih mampan dan inklusif.
Sebagai sebahagian daripada agenda lawatan, delegasi UPM mengadakan perbincangan strategik bersama Guizhou University of Finance and Economics (GUFE) pada 28 Julai bagi meneroka peluang kerjasama dalam bidang akademik, penyelidikan, mobiliti pelajar dan pensyarah serta pembangunan program bersama yang mampu memberi manfaat kepada kedua-dua institusi.
Pengiktirafan terhadap kepakaran UPM dalam transformasi pendidikan digital turut terserlah apabila Profesor Ir. Dr. Abd Rahim dijemput sebagai pengucaptama bagi Tema 6 CAECW 2026 pada 29 Julai. Menerusi syarahan bertajuk “The Digital Campus: Advancing Teaching & Learning”, beliau berkongsi pengalaman UPM dalam memacu pendigitalan pengajaran dan pembelajaran, termasuk pemanfaatan kecerdasan buatan bagi meningkatkan pengalaman pembelajaran, kecekapan akademik dan pembangunan kampus digital.
Pembentangan tersebut selari dengan tema sesi “AI Co-Creating the Future: Education Connecting ASEAN – Digital Intelligence Empowering Deep Integration of Cross-border Industry and Education” yang memberi penekanan kepada peranan AI dalam memperkukuh integrasi pendidikan dan industri merentas sempadan.
Profesor Ir. Dr. Abd Rahim berkata, penyertaan UPM dalam CAECW 2026 mencerminkan komitmen universiti untuk memperkukuh jaringan akademik antarabangsa serta memanfaatkan teknologi digital dalam melahirkan graduan yang bersedia menghadapi cabaran masa hadapan.
“Kerjasama strategik seperti ini membuka ruang kepada perkongsian kepakaran, penyelidikan berimpak tinggi dan inovasi dalam pendidikan pintar. UPM komited memperluaskan kolaborasi antarabangsa bagi meningkatkan kecemerlangan akademik, memperkukuh mobiliti warga universiti dan menyumbang kepada pembangunan ekosistem pendidikan tinggi yang lebih inklusif, mampan serta berdaya saing di peringkat global,” katanya.
Selain itu, beliau turut menghadiri Majlis Pembukaan CAECW 2026 di Tapak Penganjuran Tetap CAECW pada 29 Julai serta dijemput sebagai tetamu kehormat pada Majlis Penutup Bengkel Pengalaman Penciptaan Bersama Budaya CAECW, “Bridge to See Guizhou”, pada 31 Julai.
Dalam pada itu, penyertaan aktif UPM dalam CAECW 2026 mencerminkan komitmen universiti untuk memperluaskan jaringan antarabangsa, memperkukuh kerjasama strategik dalam pendidikan tinggi serta menyumbang kepada pembangunan ekosistem pendidikan pintar yang menyokong aspirasi ASEAN dan China dalam era transformasi digital mengangkat lagi reputasi UPM sebagai



.jpg)


