| Universiti Putra Malaysia

UPM perkukuh agenda kelestarian menerusi forum Pengenalan UPM Planetary Health and Sustainability Blueprint

Oleh: Aimi Mohamad Farid
Foto oleh: Saleha Haron

 

 

SERDANG, 9 Jun - Universiti Putra Malaysia (UPM) menganjurkan forum Pengenalan UPM Planetary Health and Sustainability Blueprint (PHSB) bagi meningkatkan kesedaran serta menyemarakkan komitmen warga universiti dalam membudayakan gaya hidup lestari.

 

Forum yang dikendalikan oleh Timbalan Pengarah (Pengurusan Strategik), Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat (PSPK) UPM, Dr. Ahmad Salahuddin Mohd Harithuddin itu menghimpunkan kepimpinan universiti dan pakar bagi membincangkan peranan ilmu, penyelidikan dan amalan institusi dalam memacu agenda kesihatan planet dan kelestarian.

 

Naib Canselor UPM, Dato' Prof. Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah FASc berkata, UPM komited memperkukuh hubungan antara ilmu, penyelidikan dan kesejahteraan masyarakat menerusi agenda kesihatan planet yang diketengahkan.

 

 

“Kita mempunyai kepakaran yang besar di universiti, namun kekuatan itu tidak seharusnya terhad kepada domain ilmu semata-mata kerana hasil penyelidikan perlu diterjemahkan kepada tindakan yang memberi manfaat kepada masyarakat dan alam sekitar,” katanya.

 

Beliau berkata penyelidikan perlu dinilai berdasarkan manfaat dan impaknya kepada masyarakat, bukan semata-mata melalui pencapaian yang diukur menerusi angka.

 

Penasihat Jawatankuasa Sustainability Taskforce (PHSB), Prof. Dr. Zaharin Aris FASc berkata, pelan tindakan tersebut mencerminkan aspirasi UPM untuk menjadikan kelestarian sebagai budaya hidup melalui pendekatan menyeluruh yang menggabungkan ilmu, nilai dan tindakan.

 

“Pembudayaan gaya hidup lestari memerlukan lebih daripada dasar dan petunjuk prestasi utama. Ia memerlukan setiap individu memahami, menghargai dan menghayati nilai di sebalik kelestarian,” katanya.

 

 

Beliau turut menekankan bahawa pembuatan keputusan berasaskan data amat penting dalam menangani isu kesihatan dan alam sekitar, sambil menyatakan bahawa kos akibat kegagalan bertindak sering kali lebih tinggi berbanding kos melaksanakan langkah pencegahan.

 

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Sustainability Taskforce (PHSB), Prof. Madya LAr. Dr. Suhardi Maulan berkata, keluasan kawasan hijau dan kekayaan aset semula jadi di UPM menjadikan universiti ini sebuah makmal hidup bagi kesihatan planet dan kelestarian.

 

 

“Kampus lestari tidak diukur semata-mata berdasarkan kehijauannya. Kita juga perlu menilai bagaimana pembangunan, infrastruktur dan amalan pengurusan menyumbang kepada kesihatan planet serta kesejahteraan komuniti kampus,” katanya.

 

Beliau menambah bahawa pembangunan kampus pada masa hadapan perlu mengutamakan pengurusan sumber yang lestari, termasuk air, sisa dan sistem pengangkutan, di samping meminimumkan impak negatif terhadap alam sekitar.

 

Semasa sesi soal jawab, para peserta turut berkongsi pandangan mengenai perkhidmatan ekosistem kampus, pemuliharaan biodiversiti serta kepentingan komunikasi berkesan dalam inisiatif kelestarian.

 

Forum tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan UPM dalam memperkasa Pelan Tindakan Kesihatan Planet dan Kelestarian serta membentuk masa depan yang lebih berdaya tahan, bertanggungjawab dan lestari untuk manusia serta alam sekitar.

WZHNBAK~