| Universiti Putra Malaysia

UPM perkasa warisan budaya menerusi Festival Zapin MAKUM 2026

Oleh: Aimi Mohamad Farid
Foto oleh: Saleha Haron

 

 

SERDANG, 6 Jun - Universiti Putra Malaysia (UPM) menghimpunkan mahasiswa daripada 11 universiti awam seluruh negara menerusi Festival Zapin Majlis Kebudayaan Universiti-Universiti Malaysia (MAKUM) 2026 yang berlangsung di Dewan Besar Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PKKSSAAS), UPM.

 

Festival yang berlangsung selama tiga hari bermula 5 hingga 7 Jun itu kembali dianjurkan selepas kali terakhir diadakan pada tahun 2018, sekali gus menjadi platform penting dalam usaha memartabatkan seni warisan zapin serta memperkukuh jati diri dan perpaduan dalam kalangan mahasiswa.

 

Penganjuran festival di bawah MAKUM dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) itu bukan sekadar pertandingan seni budaya, malah menjadi wadah memelihara, menyemarak dan mengangkat semula seni zapin sebagai warisan bangsa.

 

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Sains Malaysia (USM) merangkap Pengerusi MAKUM, Prof. Dr. Wan Ahmad Jaafar Wan Yahaya, berkata festival tersebut membuktikan komitmen institusi pendidikan tinggi dalam memastikan warisan budaya negara terus dipelihara dan diwariskan kepada generasi muda.

 

“Melalui penglibatan dalam aktiviti kebudayaan, mahasiswa bukan sahaja dapat mengembangkan bakat seni, malah berpeluang membina kemahiran insaniah, semangat kerjasama, kepimpinan serta jati diri yang kukuh.

 

“Program seperti ini turut menyumbang kepada pembangunan graduan yang seimbang dari segi intelek, emosi dan sahsiah, di samping mempunyai kepekaan terhadap warisan budaya negara,” katanya.

 

Sementara itu, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman berkata Festival Zapin MAKUM 2026 melangkaui fungsi sebuah pertandingan apabila menjadi platform pembangunan holistik mahasiswa melalui seni dan budaya.

 

“Di sebalik setiap persembahan yang dipertontonkan, terdapat proses pembelajaran yang bermakna melibatkan latihan berterusan, kreativiti, disiplin dan pengurusan pasukan yang membentuk kemahiran insaniah pelajar.

 

 

“Dalam era kecerdasan buatan yang berkembang pesat, nilai kemanusiaan, kreativiti serta seni dan budaya warisan bangsa kekal relevan dan tidak boleh digantikan oleh teknologi,” katanya.

 

Beliau berkata penganjuran program seumpama itu selari dengan aspirasi pembangunan pendidikan tinggi negara dan agenda Malaysia MADANI dalam melahirkan graduan yang berdaya saing, berintegriti serta menghargai warisan budaya.

 

Majlis penutup festival turut menyaksikan Pasukan Gemalai Qarma Dansa dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) dinobatkan sebagai johan, manakala Kelab Seni Tari Adimastuli UPM muncul naib johan dan Kumpulan Kesenian Universiti Malaya (KESUMA) dari Universiti Malaya meraih tempat ketiga.

 

Selain itu, Kelab Tari Destar Limar dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) memenangi Anugerah Khas Juri, manakala Kumpulan Kesenian Universiti Malaya (KESUMA) menerima Anugerah Tatarias Terbaik.

 

Kumpulan Tari Lestari Warisan dari Universiti Malaysia Kelantan (UMK) pula meraih Anugerah Busana Terbaik, sementara Anugerah Koreografi Terbaik dimenangi Pasukan Gemalai Qarma Dansa dari UiTM.

 

Hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM6,750 ditawarkan bagi kategori utama yang dipertandingkan, di samping plak penghargaan dan sijil penghargaan kepada para pemenang.

 

Penganjuran semula Festival Zapin MAKUM 2026 mencerminkan komitmen berterusan UPM dalam memperkasakan seni budaya sebagai medium pembangunan mahasiswa serta memastikan warisan budaya bangsa terus dipelihara dan dihargai oleh generasi akan datang.

WZHNBAX~