| Universiti Putra Malaysia

UPM perkasa penghayatan seni dan warisan negara melalui Jelajah Seni Warisan @ KTMB

Oleh: Noor Eszereen Juferi

 

SERDANG, 7 Julai – Universiti Putra Malaysia (UPM) terus memperkukuh agenda pembangunan mahasiswa holistik apabila seramai 94 pelajar Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee (KTMB) menyertai Program Jelajah Seni Warisan @ KTMB baru-baru ini yang memberi pendedahan secara langsung kepada seni, budaya dan warisan negara.

 

Program itu merupakan inisiatif Sekretariat Kebudayaan dan Kesenian, Majlis Perwakilan Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee Sesi 2025/2026 dengan kerjasama pelbagai pihak bagi memupuk penghargaan terhadap identiti kebangsaan melalui pembelajaran berasaskan pengalaman.

 

Pengetua Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee, Dr. Mohd Hafiz Mohd Zaid berkata, program seumpama itu selari dengan usaha UPM melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah mempunyai jati diri, semangat patriotisme serta menghargai warisan bangsa.

 

“Program seperti Jelajah Seni Warisan @ KTMB merupakan platform penting dalam memupuk penghargaan terhadap seni, budaya dan warisan negara, sekali gus membentuk mahasiswa yang beridentiti serta menghargai khazanah bangsa,” katanya.

 

Pengarah Program, Afif Afwan Rohizan berkata, program itu dianjurkan bagi mendekatkan mahasiswa dengan khazanah warisan negara agar mereka lebih memahami kepentingan memelihara identiti budaya Malaysia.

 

“Kami berharap program ini dapat membuka mata mahasiswa tentang kepentingan memelihara warisan negara di samping membentuk generasi yang lebih menghargai sejarah, budaya dan identiti Malaysia,” katanya.

 

Selain itu, peserta mengikuti pelbagai aktiviti termasuk bengkel seni, budaya dan warisan yang dikendalikan oleh wakil Pusat Kebudayaan dan Kesenian UPM, aktiviti eksplorasi, pertandingan dokumentasi video serta lawatan pendidikan ke Muzium Negara dan Kompleks Kraf Kuala Lumpur.

 

Pendekatan pembelajaran di luar bilik kuliah ini bukan sahaja memperkayakan pengetahuan mahasiswa mengenai sejarah dan budaya negara, malah mengasah kemahiran insaniah seperti komunikasi, kepimpinan, pemikiran kritis dan kerja berpasukan.

 

Bagi peserta, Arina Hanania Roestam, pengalaman menyertai aktiviti eksplorasi di Muzium Negara memberikan perspektif baharu mengenai kepelbagaian budaya Malaysia dan meningkatkan kesedaran bahawa warisan budaya merupakan tanggungjawab bersama yang perlu dipelihara oleh generasi muda.

 

“Program ini mencerminkan komitmen UPM dalam memperkukuh pembangunan sahsiah mahasiswa melalui penghayatan seni, budaya dan warisan negara serta menyokong aspirasi universiti untuk melahirkan graduan berilmu, berdaya saing dan berjati diri,” katanya.

WZHXBAh~