| Universiti Putra Malaysia

UPM perkasa kesedaran akreditasi dan budaya kualiti dalam kalangan pelajar sekolah

 

Oleh: Noor Eszereen Juferi

 

SERDANG, 16 Julai – Universiti Putra Malaysia (UPM) menerusi Pusat Jaminan Kualiti (CQA), UPM terus memperkukuh peranannya dalam memindahkan ilmu kepada masyarakat menerusi Program Aspirasi Kualiti Akademik dan Kualiti Perkhidmatan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Klana Putra, Lenggeng, Negeri Sembilan baru-baru ini.

 

 

Program ini bertujuan meningkatkan kesedaran pelajar tentang kepentingan akreditasi program pengajian, laluan ke pendidikan tinggi dan budaya kerja berkualiti.

 

 

Program itu melibatkan 18 orang staf CQA dengan kerjasama Seksyen Promosi Akademik, Bahagian Kemasukan dan Bahagian Urus Tadbir Akademik (BAKD), serta Pasukan Promosi Pusat Asasi Sains (ASPutra), UPM.

 

 

Seramai 85 pelajar Tingkatan Empat bersama empat guru bimbingan dan kaunseling mengikuti slot “Akreditasi Pemangkin Kecemerlangan Kualiti Akademik”, manakala tujuh guru serta 15 pelajar Tingkatan Tiga menyertai slot “Amalan EKSA dan Kelestarian Hijau”, yang dijalankan secara serentak bagi memastikan pengisian lebih fokus mengikut kumpulan sasaran.

 

 

Timbalan Pengarah Jaminan Kualiti Akademik CQA, UPM, Dr. Zufarzaana Zulkeflee berkata program itu mencerminkan komitmen UPM dalam memperluaskan perkongsian kepakaran universiti kepada komuniti, khususnya dalam membantu pelajar membuat keputusan yang tepat sebelum melanjutkan pengajian ke institusi pendidikan tinggi.

 

 

“Akreditasi bukan sekadar pengiktirafan kepada sesebuah program pengajian, malah menjadi jaminan bahawa program tersebut memenuhi standard kualiti yang ditetapkan serta diiktiraf untuk tujuan pengajian lanjutan, pembiayaan pendidikan dan kerjaya.

 

 

“Pendedahan awal mengenai kepentingan akreditasi membolehkan pelajar dan ibu bapa membuat pilihan yang lebih bijak serta merancang laluan pendidikan berdasarkan program yang diiktiraf dan memenuhi keperluan industri,” katanya.

 

 

Tambah beliau, penganjuran program tersebut turut memperkukuh hubungan strategik antara UPM dan komuniti sekolah, selaras dengan aspirasi universiti untuk terus memperluaskan impak pendidikan melalui jaringan kerjasama yang memberi manfaat kepada masyarakat.

 

 

 

“Melalui program seperti ini, kita berharap lebih ramai pelajar mendapat pendedahan awal mengenai pendidikan tinggi, di samping membudayakan nilai kualiti, kelestarian dan kecemerlangan dalam kehidupan seharian,” katanya.

 

 

Pengetua SMK Dato’ Klana Putra, Lenggeng, Negeri Sembilan, Mohamad Zaini Khalid, berkata kerjasama dan pelaksanaan program seperti ini wajar diteruskan secara konsisten agar manfaatnya dapat dirasai dalam jangka panjang.

 

 

“Saya berharap program sebegini  ini akan dilaksanakan berterusan dan bersifat jangka panjang supaya impak serta manfaat kepada para pelajar dapat dikekalkan, diperkukuh dan diperluaskan dari semasa ke semasa,” katanya.

 

 

Selain memberi penerangan mengenai peranan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dalam memastikan kualiti program pengajian tinggi, peserta turut didedahkan dengan maklumat berkaitan syarat kemasukan ke UPM, program akademik yang ditawarkan, kemudahan universiti serta peluang melanjutkan pengajian selepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

 

 

Sesi promosi yang dikendalikan oleh wakil BAKD dan ASPutra turut memberi peluang kepada pelajar mendapatkan penjelasan secara langsung mengenai bidang pengajian yang diminati melalui sesi soal jawab interaktif.

 

 

Sementara itu, slot “Amalan EKSA dan Kelestarian Hijau” yang dikendalikan oleh Penyelaras EKSA UPM, Nurainakmal Kamal Bahrin memberi pendedahan kepada guru dan pelajar mengenai konsep Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA), termasuk amalan pengurusan persekitaran berkualiti, budaya kerja sistematik serta penerapan elemen kelestarian melalui aktiviti kitar semula.

 

 

Peserta turut mengikuti demonstrasi penghasilan produk inovasi menggunakan bahan terpakai serta menyertai kuiz interaktif yang bertujuan mengukuhkan kefahaman terhadap konsep EKSA dan amalan kelestarian.

 

 

Dalam pada itu, program tersebut menerima maklum balas positif daripada peserta yang menyifatkan pengisian disampaikan secara interaktif, mudah difahami dan membuka perspektif baharu mengenai kepentingan akreditasi serta peluang pendidikan tinggi.

WZIMGA~