
Oleh: Zarith Sofea Ibrahim
SERDANG, 10 Julai - Universiti Putra Malaysia (UPM) menjadi pentas pengembangan bakat seni generasi muda menerusi penganjuran Festival Tari Irama Malaysia: Edisi Arena 2026 yang menghimpunkan 19 kumpulan tarian daripada sekolah dan universiti, sekali gus menyemarakkan usaha memelihara warisan budaya negara.
Festival anjuran Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar (PKPP), UPM dengan kerjasama Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP), Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PKKSSAAS) serta Badansa Troupe itu mengetengahkan tema ‘Akar Tradisi, Gerak Kontemporari’.
Tema tersebut menggabungkan keindahan seni tari tradisional dengan pendekatan persembahan moden bagi memastikan warisan budaya terus dekat dan relevan dengan generasi muda.
Pengarah PKPP, UPM, Prof. Madya Dr. Mursyid Arshad berkata, festival itu bukan sekadar pertandingan, malah menjadi wadah pembangunan pelajar secara holistik menerusi penglibatan aktif dalam bidang seni, budaya dan kokurikulum.
“Festival ini bukan sahaja mencungkil bakat, malah membina kepimpinan, kreativiti dan jati diri pelajar.
“Saya berharap festival ini terus menjadi platform berprestij yang memperkasa bakat seni serta melahirkan graduan beridentiti dan mampu menyumbang kepada masyarakat, selaras dengan aspirasi True North UPM,” katanya.
Festival berkenaan mempertandingkan dua kategori, iaitu Kategori Terbuka dan Kategori Kelab UPM. Sebanyak 13 kumpulan mewakili 10 sekolah dengan penyertaan 68 peserta bersaing dalam Kategori Terbuka, manakala enam kumpulan daripada UPM berentap dalam Kategori Kelab UPM.
Johan Kategori Kelab UPM, Ahmad Yazid Yamaluddin Jugah yang juga pelajar tahun tiga Fakulti Sains berkata, kejayaan itu merupakan hasil komitmen, disiplin dan latihan berterusan seluruh anggota kumpulan.

“Kemenangan ini amat bermakna kerana segala usaha, komitmen dan latihan yang kami lalui akhirnya membuahkan hasil.
“Saya berharap festival seperti ini diteruskan setiap tahun bagi membuka ruang kepada lebih ramai bakat baharu untuk mengangkat seni tari dan budaya Malaysia,” katanya.
Sementara itu, wakil Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jalan Tiga, Bangi yang muncul sebagai johan Kategori Terbuka, Nur Alisya Vellisa Mohd. Alizam berkata, festival berkenaan memberikan pengalaman berharga kepada peserta untuk mengasah kemahiran persembahan dalam suasana pertandingan yang kompetitif.
“Kami amat bersyukur kerana segala penat lelah, latihan dan komitmen yang diberikan akhirnya membuahkan kejayaan.
“Saya berharap festival ini dapat diteruskan dan diperluaskan agar lebih banyak pasukan serta koreografer berpeluang mengetengahkan bakat masing-masing,” katanya.

Penganjuran itu turut memperluas jaringan kerjasama antara universiti, institusi pendidikan dan industri menerusi sokongan Fauzan Fadzil Couture serta Emina Cosmetic sebagai rakan penaja.
Festival Tari Irama Malaysia: Edisi Arena 2026 mencerminkan usaha UPM membangunkan pelajar yang seimbang dari segi akademik, sahsiah dan kreativiti, di samping menyediakan ruang kepada generasi muda untuk mengenali, menghargai dan meneruskan warisan seni tari negara.



.jpg)


