
SHENZHEN, 6 Jun - Universiti Putra Malaysia (UPM) memperluas pengaruh dan jaringan global melalui pelancaran program pensijilan mikro AI + Agricultural Technology di Global Future Higher Education Summit anjuran UNESCO-ICHEI yang berlangsung di Southern University of Science and Technology Convention Centre, Shenzhen, China.
Pelancaran program tersebut disempurnakan melalui pembentangan oleh wakil Fakulti Pengajian Pendidikan (FPP), UPM bersama IIOENC Malaysia dan dilihat sebagai langkah strategik memperluas pengaruh universiti dalam agenda pendidikan masa depan berteraskan kecerdasan buatan (AI), teknologi dan pembangunan bakat global.
Persidangan yang menghimpunkan ahli akademik, penyelidik, pemain industri dan organisasi antarabangsa dari pelbagai negara itu memberi fokus kepada pembangunan ekosistem baharu pendidikan tinggi melalui kerjasama industri–akademia yang dipacu AI.
Profesor dari Fakulti Pengajian Pendidikan, Prof. Dr. Ismi Arif Ismail, mewakili Naib Canselor UPM, Dato’ Profesor Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah FASc, dalam sesi pelancaran program berkenaan.

Program pensijilan mikro itu merupakan kesinambungan inisiatif IIOENC Malaysia bagi memperkukuh pendidikan terbuka dan pembelajaran jarak jauh (ODL), selain menyokong pembangunan TVET pertanian serta pembudayaan pembelajaran sepanjang hayat.
Dalam pembentangannya, Prof. Dr. Ismi Arif Ismail turut menjemput rakan sarjana dan pengamal profesional dalam rangkaian universiti dan industri di bawah UNESCO untuk memperluaskan kerjasama pembangunan bakat masa hadapan berasaskan AI.
Sebagai langkah susulan, satu kajian berkaitan inisiatif tersebut dijadual dilaksanakan menjelang akhir tahun ini dengan sokongan pembiayaan UNESCO-ICHEI berjumlah hampir RM48,000.
Penglibatan ini mencerminkan komitmen UPM dalam memperluas jaringan antarabangsa, memperkasa inovasi pendidikan dan memperkasakan pemindahan ilmu ke arah pembangunan masyarakat dan ekonomi masa hadapan.






