| Universiti Putra Malaysia

UPM lancar MyAgriniti, pacu transformasi digital penternakan ayam kampung di Hulu Semenyih

 

Oleh: Noor Eszereen Juferi

Foto Oleh: Noor Azreen Awang

 

SEMENYIH, 10 Jun – Universiti Putra Malaysia (UPM) menerusi Institut Pertanian Tropika dan Sekuriti Makanan (ITAFoS) telah melancarkan aplikasi MyAgriniti bagi membantu komuniti penternak meningkatkan produktiviti serta mengurangkan kos operasi dan memperkukuh ekonomi setempat melalui penggunaan teknologi digital.

 

Aplikasi yang dibangunkan oleh ITAFoS merupakan antara inisiatif di bawah program UniMADANI, Kementerian Kewangan Malaysia, yang bertujuan memperkasa komuniti luar bandar menerusi penerapan inovasi digital dan pembangunan sistem penternakan ayam kampung yang lebih mampan, cekap serta berdaya saing.

 

Pengarah Institut Pertanian Tropika dan Sekuriti Makanan (ITAFoS), UPM, Prof. Dr. Anjas Asmara Samsudin berkata pembangunan aplikasi tersebut membuktikan komitmen UPM dalam membawa hasil penyelidikan universiti terus kepada masyarakat.

 

“UPM bukan sahaja menghasilkan penyelidikan di makmal tetapi memastikan inovasi yang dibangunkan benar-benar memberi manfaat kepada komuniti. MyAgriniti merupakan platform yang menghubungkan teknologi, ilmu penternakan dan keperluan sebenar penternak di lapangan,” katanya.

 

Ketua Projek MyAgriniti, Dr. Aida Zakaria, berkata aplikasi berkenaan menyediakan pelbagai modul penting termasuk pengurusan pemakanan ternakan, kawalan penyakit dan biosekuriti, rekod kewangan, pemasaran hasil ternakan serta pengurusan sisa menjadi baja kompos.

 

“Melalui aplikasi ini, penternak bukan sahaja dapat mengurangkan kos operasi melalui penghasilan dedak sendiri, malah mampu meningkatkan produktiviti dan daya saing dalam pasaran,” katanya.

 

“Pendekatan ekosistem komuniti yang diterapkan turut memberi latihan kepada peserta menghasilkan dedak ayam menggunakan formulasi kos rendah selain memanfaatkan sisa ternakan bagi penghasilan baja organik,” katanya.

 

 

Selain itu, aplikasi itu mampu membantu penternak membuat keputusan lebih tepat melalui pengurusan data ternakan secara sistematik selain menyokong agenda keterjaminan makanan negara.

 

Pegawai Khas Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Tazley Nik Nordin, berkata usaha kolaborasi antara universiti dan komuniti seperti itu perlu diperluaskan kerana mampu memberi impak langsung kepada penduduk luar bandar.

 

“Program seperti ini sangat penting kerana ia bukan sahaja memperkenalkan teknologi kepada masyarakat, malah membuka peluang ekonomi baharu kepada penternak kecil di kawasan kampung,” katanya.

 

Ketua Kampung Rinching Hulu, Semenyih, Samsudin Zainal, berkata pelaksanaan program itu sebagai langkah tepat dalam membantu komuniti setempat menambah pendapatan dan memperkukuh aktiviti ekonomi kampung.

 

“Kami melihat ramai penduduk berminat untuk terlibat dalam penternakan ayam kampung, namun kekangan ilmu dan kos sering menjadi cabaran. Dengan adanya aplikasi dan latihan seperti ini komuniti lebih yakin untuk mengembangkan usaha mereka,” katanya.

 

Sementara itu, penduduk setempat menyambut baik inisiatif tersebut dan berharap aplikasi MyAgriniti dapat menjadi platform penting dalam memodenkan penternakan ayam kampung serta meningkatkan taraf ekonomi komuniti luar bandar.

 

Penduduk Kampung Pasir Baru, Semenyih, Zulhazmi Abdul Rahman, berkata program itu memberi manfaat besar kepada masyarakat menerusi pemindahan ilmu, teknologi dan inovasi yang dapat dimanfaatkan dalam sektor pertanian dan penternakan.

 

“Program seperti ini sangat membantu saya menambah ilmu serta memahami kaedah yang lebih berkesan dan baik untuk saya yang baru berkecimpung dalam bidang penternakan,” katanya.

 

 

WZHNBAS~