Oleh: Noor Eszereen Juferi
SERDANG, 5 Jun – Universiti Putra Malaysia (UPM) menerusi Fakulti Perubatan Veterinar (FPV) terus memperkukuh agenda kelestarian biodiversiti negara menerusi pelancaran buku Guideline for Biodiversity Friendly Oil Palm Plantation (GAP4WILDLIFE) serta pemeteraian kerjasama strategik pemuliharaan hidupan liar sempena Forum Biodiversiti 2026, baru-baru ini.
Forum dwitahunan bertemakan “Coexistence in Malaysian Palm Oil Landscape” itu dianjurkan oleh Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF) dan menghimpunkan lebih 400 peserta serta 20 penceramah daripada pelbagai agensi kerajaan, institusi akademik, industri dan pertubuhan pemuliharaan.
Majlis berkenaan telah dirasmikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK), Dato’ Yusran Shah Mohd Yusof yang mewakili Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad.
Dalam majlis sama, Dato’ Yusran turut melancarkan buku GAP4WILDLIFE yang diterbitkan hasil kerjasama antara MPOGCF, UPM dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung Malaysia.
Dekan Fakulti Perubatan Veterinar (FPV), UPM, Profesor Dr. Goh Yong Meng, berkata penerbitan buku tersebut membuktikan komitmen universiti dalam menyumbang kepakaran saintifik dan penyelidikan kepada pembangunan industri sawit yang lebih lestari dan mesra biodiversiti.
“Buku GAP4WILDLIFE ini bukan sekadar panduan teknikal, tetapi menjadi jambatan penting dalam memastikan keseimbangan antara pembangunan industri sawit dan kelangsungan habitat hidupan liar dapat dicapai secara mampan.
“Pendekatan berasaskan sains penyelidikan lapangan dan kerjasama pelbagai pihak amat penting dalam memperkukuh usaha konservasi biodiversiti negara khususnya dalam menangani konflik manusia dan hidupan liar di kawasan perladangan,” katanya.
Selain itu, penghasilan garis panduan tersebut juga selari dengan aspirasi negara untuk memperkukuh amalan Environmental, Social and Governance (ESG) dalam sektor perladangan serta meningkatkan keyakinan global terhadap industri sawit Malaysia.
Penerbitan buku GAP4WILDLIFE itu diketuai oleh Pensyarah Kanan Pengurusan Hidupan Liar FPV UPM, Dr. Tengku Rinalfi Putra Tengku Azizan bersama barisan penyelidik UPM iaitu Prof. Dr. Mohd Hezmee Mohd Noor, Prof. Dr. Hasliza Abu Hassim, Prof. Madya Dr. Hafandi Ahmad, Prof. Madya Dr. Farina Mustaffa Kamal, Dr. Wan Nor Fitri Wan Jaafar, Muhammad Farris Mohd Sadali, Priscilla Nasthalina Jabing dari Fakulti Perubatan Veterinar serta Dr. Zulkhairi Azizi Zainal Abidin dari Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar UPM.
Dalam pada itu, turut berlangsung pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara MPOGCF, Yayasan Pahang dan UPM bagi pelaksanaan projek The Living Lab Project: Sustainable Conservation of Asian Elephants in YP Hevea di Kuala Sat, Pahang.
Kerjasama tersebut dijangka memperkukuh penyelidikan dan pelaksanaan pendekatan konservasi berasaskan lapangan bagi memastikan kelangsungan habitat gajah Asia di kawasan perladangan secara lebih lestari dan bersepadu.






