| Universiti Putra Malaysia

UPM Jadi Tuan Rumah Olympiad Nanoteknologi Malaysia 2026

 

Oleh: Zarith Sofea Ibrahim

 

SERDANG, 2 September– Universiti Putra Malaysia (UPM) menjadi tuan rumah Pertandingan Olympiad Nanoteknologi Malaysia (ONM) Peringkat Kebangsaan 2026 yang menghimpunkan 30 peserta terbaik pascasiswazah dari seluruh negara bagi meneroka aplikasi nanoteknologi dalam bidang bioperubatan.

 

 

Bertemakan “Nano Meets Bio (Nanotechnology in Biomedical Sciences)”, pertandingan memberi tumpuan kepada aplikasi nanoteknologi dalam bidang bioperubatan termasuk penghantaran ubat terkawal, nanobiosensor, diagnostik, implan, peranti bioperubatan, perubatan regeneratif dan nanobioteknologi.

 

 

Ketua Jabatan Fizik UPM, Prof. Madya Dr. Mohd Mustafa Awang Kechik berkata, nanoteknologi mempunyai aplikasi yang luas merangkumi bidang bioperubatan, bahan termaju, tenaga, elektronik, alam sekitar dan pembangunan teknologi hijau.

 

 

“Nanoteknologi mempunyai aplikasi yang luas, termasuk dalam bidang bioperubatan, bahan termaju, tenaga, elektronik, alam sekitar dan pembangunan teknologi hijau.”

 

 

Selain itu, seramai 30 peserta yang berjaya melepasi ujian saringan dalam talian menyertai Kem ONM 2026 dari 16 hingga 22 Ogos 2026. Peserta dinilai berdasarkan kandungan saintifik, kreativiti, inovasi serta keupayaan membangunkan dan membentangkan cadangan penyelidikan selaras dengan tema pertandingan.

 

 

Dalam kalangan peserta UPM, Mohd Zafrul Arif Radhi dari Institut Kajian Perladangan meraih Pingat Emas, manakala Nur Afiqah Mohamed Indera Alim Sah dari Fakulti Sains memperoleh Pingat Perak. Tiga lagi peserta UPM, iaitu Timothy Teo Mun Hao, Muhammad Faizadmesa Allim dan Nur Balqis Zamri, masing-masing meraih Pingat Gangsa.

 

 

Sementara itu, pelajar sarjana UPM dan penerima Pingat Gangsa, Muhammad Faizamesa Allim, menyifatkan penyertaannya dalam ONM 2026 sebagai pengalaman yang mencabar tetapi memberi peluang untuk mengembangkan pengetahuan di luar bidang penyelidikannya.

 

 

“Saya amat bersyukur kerana berpeluang disenaraikan dalam kelompok 30 finalis terbaik daripada pelajar pascasiswazah seluruh negara. Tema ‘Nano Meets Bio’ mencabar kerana memerlukan saya meneroka idea di luar bidang penyelidikan biasa dan menghubungkan nanoteknologi dengan aplikasi biologi.

 

 

“Walaupun mencabar, pengalaman ini mendorong saya untuk belajar, menyesuaikan diri dan membentangkan inovasi dengan lebih yakin. Pingat Gangsa yang diraih menjadikan pengalaman ini lebih bermakna dan saya menghargai sokongan serta galakan Jabatan Fizik UPM sepanjang penyertaan ini.” katanya.

 

 

Majlis tersebut turut dihadiri oleh Dekan Fakulti Sains UPM, Prof. Madya Dr. Nor Azwady Abd Aziz, yang mewakili Naib Canselor UPM, bersama barisan pemimpin utama daripada rakan strategik program, iaitu Pengarah Pusat Nanoteknologi Kebangsaan (NNC), Prof. Madya Ir. Dr. Ahmad Mukifza Harun; Ketua Penolong Pengarah NNC, En. Ismarul Nizam Ismail @ Abdul Kadir; Pengerusi MASS Malaysia, PM Dr. Khamirul Amin Matori; serta Pengerusi MASS Chapter UPM, Ts. Dr. Muhammad Kashfi Shabdin.

 

 

Penganjuran ONM 2026 merupakan kerjasama antara Pusat Nanoteknologi Kebangsaan (NNC), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Malaysia Solid State Science and Technology Society (MASS) Chapter UPM.

 

 

Kerjasama ini memperkukuh peranan UPM dalam membangunkan bakat pascasiswazah dalam bidang nanoteknologi, selain menyediakan platform kepada pelajar untuk mengembangkan kepakaran dan membina jaringan di peringkat kebangsaan serta antarabangsa.

XZJMHA7~