| Universiti Putra Malaysia

UPM dan KSSB perkukuh inovasi akuakultur menerusi teknologi genetik udang, probiotik dan kualiti air

 

Oleh: Noor Eszereen Juferi

Foto Oleh: Saleha Haron

 

SERDANG, 31 Ogos – Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Kembang Subur Sdn. Bhd. (KSSB) memperkukuh kerjasama strategik dalam penyelidikan, pembangunan teknologi dan pemindahan ilmu bagi menyokong peningkatan produktiviti serta kemampanan industri akuakultur negara.

 

Kerjasama itu dimeterai menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) antara UPM dan KSSB yang berlangsung sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 di sini, hari ini.

 

Majlis pertukaran MoU itu disaksikan Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) UPM, Profesor Dr. Shamsul Bahri Md Tamrin, bersama Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Muhammad Faiz Fadzil dan Ketua Pengarah LKIM, Dato’ Dr. Abdul Salim Tajuddin.

 

Profesor Dr. Shamsul Bahri berkata, kerjasama antara UPM, KSSB dan LKIM merupakan langkah strategik yang bertepatan dengan keperluan memperkukuh ekosistem penyelidikan dan inovasi akuakultur negara.

 

“Melalui Fakulti Pertanian khususnya Jabatan Akuakultur, kepakaran penyelidik UPM dapat digabungkan dengan pengalaman dan keperluan sebenar industri, khususnya dalam bidang kesihatan udang, inovasi akuakultur serta pembangunan sistem pengeluaran yang lebih mampan.

 

“Kerjasama ini bukan sahaja membuka ruang kepada penghasilan teknologi dan penyelesaian baharu untuk industri, malah berpotensi memperkukuh hubungan universiti-industri melalui penyelidikan gunaan, latihan pelajar dan pembangunan bakat,” katanya.

 

Selain itu, kerjasama tersebut adalah sejajar dengan Blueprint Keterjaminan Makanan UPM dan Blueprint Kesihatan Planet UPM yang memberi penekanan kepada pembangunan penyelesaian mampan demi kesejahteraan manusia, haiwan dan alam sekitar.

 

Pengarah Urusan KSSB, Jeffrey Lee Kat Choy, berkata kerjasama berkenaan merupakan langkah penting dalam memperkukuh hubungan strategik antara industri dan institusi akademik.

 

“Kami percaya gabungan pengalaman industri, kepakaran akademik serta kekuatan penyelidikan dan inovasi mampu menghasilkan penyelesaian yang lebih berkesan untuk meningkatkan produktiviti, kecekapan dan kemampanan sektor akuakultur negara,” katanya.

 

Dekan Fakulti Pertanian UPM, Prof. Dr. Loh Teck Chwen, berkata MoU itu akan memperluas kerjasama dalam beberapa aspek termasuk penempatan latihan industri pelajar, penyelidikan bersama serta penyediaan khidmat kepakaran kepada pihak industri.

 

“Melalui kerjasama ini Fakulti Pertanian berpotensi menjadi antara pusat rujukan kepada KSSB khususnya dalam menangani isu dan cabaran berkaitan akuakultur.

 

“Pada masa yang sama kami berharap kerjasama ini dapat berkembang daripada penempatan latihan industri kepada penyelidikan bersama serta pembiayaan penyelidikan oleh pihak industri yang dapat dimanfaatkan oleh penyelidik dan pelajar UPM,” katanya.

 

Kerjasama UPM dan KSSB itu dijangka membuka ruang yang lebih luas kepada penyelidikan berorientasikan industri, pembangunan teknologi, latihan dan pemindahan kepakaran yang dapat menyumbang kepada pengukuhan daya saing serta keterjaminan sektor akuakultur negara.

 

Ketua Jabatan Akuakultur UPM, Prof. Dr. Natrah Fatin Mohd Ikhsan, berkata kerjasama itu akan memberi tumpuan kepada pembangunan dan pemilihan genetik udang bagi menghasilkan benih udang berkualiti serta teknologi probiotik dan alga bagi menyokong pemakanan, kesihatan ternakan dan pengurusan kualiti air.

 

“Bagi program pembangunan genetik udang, UPM mempunyai kepakaran penyelidikan yang dapat dimanfaatkan untuk menyokong keperluan industri. Kepakaran penyelidik di Jabatan Akuakultur, Prof Madya Dr Yuzine Esa dan Dr Dania Aziz khususnya dalam bidang genetik akuakultur merupakan antara kekuatan yang boleh dimanfaatkan bagi meyokong pembangunan benih udang berkualiti serta program pembiakan yang lebih sistematik.

 

“Selain itu, pensyarah kami turut memberi latihan dan perkongsian ilmu kepada staf KSSB berkaitan pembangunan serta pengurusan genetik udang,” katanya.

 

Tambah beliau, teknologi probiotik dan alga juga berpotensi meningkatkan kesihatan serta kualiti ternakan udang menerusi pendekatan pemakanan dan pengurusan ternakan sejak peringkat awal.

 

“Dalam pendekatan ini alga berperanan sebagai sumber nutrien awal yang penting kepada udang, manakala penggunaan probiotik dapat membantu menyokong keseimbangan mikrobiota, kesihatan ternakan serta kestabilan air. Pendekatan ini selari dengan prinsip akuakultur sirkular yang menekankan penggunaan sumber secara lebih cekap,  pengurangan sisa serta penggunaan semula nutrien dalam sistem pengeluaran”

 

“Gabungan teknologi ini diharapkan dapat membantu mewujudkan ekosistem persekitaran yang lebih stabil dan seterusnya menyokong pengeluaran udang yang lebih sihat, produktif serta mampan,” katanya.

 

 

 

XZJMGAX~