Oleh: Aimi Mohamad Farid
Foto oleh: Noor Azreen Awang

SERDANG, 12 Jun – Universiti Putra Malaysia (UPM) meneruskan komitmennya dalam memperkasa kesejahteraan komuniti apabila bekerjasama dengan Bank Rakyat menjayakan Program Agihan Sumbangan Daging Korban sempena Aidiladha 1447H yang memberi manfaat kepada golongan asnaf UPM dan masyarakat setempat.
Program anjuran Pusat Islam UPM dan Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Infak (WAZAN) UPM itu menyaksikan agihan sebanyak 700 kilogram daging korban kepada penerima yang layak, selain bantuan tunai dan kotak makanan asas kepada 50 penerima asnaf.
Inisiatif tersebut dilaksanakan sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh kebajikan masyarakat menerusi penyaluran bantuan kepada golongan yang memerlukan, di samping memenuhi tuntutan ibadah korban sempena Aidiladha serta mengeratkan hubungan kerjasama antara UPM dan Bank Rakyat.
Pengarah Pusat Islam UPM, Zuhaimi Abdul Rahim berkata, kerjasama antara UPM dan Bank Rakyat membolehkan lebih ramai golongan yang memerlukan menerima manfaat daripada pelaksanaan ibadah korban.

“Ibadah korban merupakan ibadah yang sangat dituntut dan peluang seperti ini perlu dimanfaatkan sebaiknya untuk membantu mereka yang memerlukan. Melalui sumbangan yang disalurkan, kita bukan sahaja dapat melaksanakan tuntutan ibadah malah mengembalikan manfaat kepada masyarakat,” katanya.
Tambah beliau, kerjasama dengan Bank Rakyat amat membantu dalam memenuhi permintaan korban yang tinggi, di samping membuka ruang kepada pelaksanaan pelbagai program komuniti yang memberi manfaat kepada masyarakat.
“Saya berterima kasih kepada Bank Rakyat atas sumbangan yang diberikan kepada warga UPM dan masyarakat setempat serta menyifatkan WAZAN UPM sebagai rakan strategik yang banyak membantu dalam usaha pengimarahan dan pembangunan Masjid UPM,” katanya.
Selain itu, penganjuran program tersebut mencerminkan komitmen berterusan UPM dan Bank Rakyat dalam memperkasakan kesejahteraan masyarakat melalui pendekatan kerjasama strategik yang memberi impak langsung kepada golongan sasar.
Pengarah Wilayah Tengah dan Selatan Bank Rakyat, Roslan Din berkata, bagi tahun 2026, Bank Rakyat menyediakan sebanyak 252 ekor lembu dan 156 ekor kambing untuk diagihkan di 50 lokasi di seluruh negara bermula penghujung Mei lalu.
“Melalui program ini, Bank Rakyat bukan sahaja menyalurkan daging korban, malah turut menyediakan sumbangan bagi tujuan pengimarahan masjid dan kebajikan asnaf. Kami berharap inisiatif seperti ini dapat diteruskan pada masa hadapan demi manfaat masyarakat yang memerlukan,” katanya.

Bank Rakyat turut menyalurkan sumbangan berjumlah RM20,000 yang merangkumi bantuan tunai kepada penerima asnaf, aktiviti pengimarahan Masjid UPM, penyediaan kotak makanan asas serta penganjuran program.
Sementara itu, penerima sumbangan, Nur Fazilah Mohd Salleh, berkata bantuan yang diterima amat membantu keluarganya dalam mengurangkan beban perbelanjaan harian.
“Alhamdulillah, daging korban yang diterima boleh digunakan untuk menyediakan makanan kepada anak-anak, manakala barang keperluan dapur pula dapat membantu menampung perbelanjaan harian keluarga,” katanya.






