Oleh: Noor Eszereen Juferi
Foto Oleh: Mohammad Izrul Abdul Jabar
SERDANG, 7 Julai – Universiti Putra Malaysia (UPM) menerusi Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) menganjurkan PUTRA Renourish: PRINCE Patient Care Day 2026 bagi meningkatkan pengetahuan, sikap dan amalan pemakanan sihat dalam kalangan pesakit dialisis melalui pendekatan pendidikan kesihatan berasaskan komuniti.
Program hasil kerjasama dengan Putra Renal Intervention & Dialysis Centre (PRINCE) itu melibatkan 60 pesakit dialisis serta 16 pelajar tahun akhir Bacelor Sains Dietetik dengan Kepujian yang menjalankan Praktikum Profesional Dietetik Komuniti (DTK4904).
Program tersebut dihadiri Naib Canselor UPM, Dato' Prof. Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah.
Penyelaras Praktikum Profesional Dietetik Komuniti (DTK4904), FPSK, UPM, Dr. Noraida Omar berkata, program selama enam minggu itu dibangunkan berdasarkan dapatan penilaian keperluan yang dijalankan pada dua minggu pertama bersama komuniti pesakit dialisis.
“Melalui penilaian tersebut pelajar dietetik mengenal pasti beberapa isu utama yang perlu diberi keutamaan, antaranya pengambilan protein yang tidak mencukupi serta pengambilan makanan tinggi fosfat. Berdasarkan dapatan itu kami merancang intervensi yang bersesuaian termasuk tip praktikal yang mudah diamalkan oleh pesakit di rumah,” katanya.
Tambah beliau, program itu bukan sahaja bertujuan meningkatkan pengetahuan peserta, malah mengubah sikap dan amalan pemakanan melalui pelbagai aktiviti interaktif yang disediakan.
“Kami berharap komuniti pesakit dialisis memperoleh pengetahuan yang tepat mengenai pemakanan yang sesuai dengan keadaan kesihatan mereka. Perubahan sikap dan amalan harian ini diharapkan dapat membantu mereka mengawal penyakit serta meningkatkan kualiti hidup,” katanya.
Dr. Noraida berkata, program itu memberi pengalaman bermakna kepada pelajar dalam mengendalikan intervensi pemakanan di lapangan.
“Pelajar dapat menyedari bahawa peranan seorang dietitian bukan sekadar menguasai ilmu tetapi memerlukan komitmen tinggi untuk mendidik masyarakat serta membantu membanteras mitos pemakanan yang tidak berasaskan fakta,” katanya.
Ketua Program PUTRA Renourish: PRINCE Patient Care Day 2026, Ong Chong Yu berkata, kerjasama dengan PRINCE memberi peluang kepada pelajar memahami situasi sebenar pesakit dialisis serta cabaran yang bakal dihadapi dalam kerjaya mereka.
“Melalui program ini kami bukan sahaja menyampaikan ilmu berkaitan pemakanan pesakit dialysis malah mempelajari cara berkomunikasi dengan pesakit, memahami kebimbangan mereka serta menyesuaikan pendekatan pendidikan kesihatan mengikut keperluan komuniti,” katanya.
Bagi pelajar tahun akhir Bacelor Sains Dietetik dengan Kepujian, FPSK, UPM, Anisah Syafiah Abdul Mannan, berkata pengalaman menjalankan penilaian keperluan sebelum program membantu kumpulan pelajar mengenal pasti jurang pengetahuan dalam kalangan pesakit.
“Kami mendapati ramai pesakit memerlukan lebih banyak maklumat mengenai pemakanan yang sesuai dan pengalaman saya peroleh ini dapat meningkatkan keyakinan untuk berinteraksi dengan komuniti serta mengendalikan pendidikan kesihatan sebagai persediaan sebelum melangkah ke alam pekerjaan,” katanya.
Rakannya, Zikri Iqram Zakaria, berkata, program tersebut membolehkan pelajar mengaplikasikan teori yang dipelajari di dalam kelas dalam situasi sebenar.
“Pendekatan di komuniti sangat berbeza berbanding persekitaran klinikal kerana di hospital pendidikan pemakanan biasanya dijalankan secara individu tetapi di komuniti kami perlu memastikan mesej yang disampaikan dapat difahami oleh kumpulan yang lebih besar menggunakan pendekatan yang lebih kreatif dan berkesan,” katanya.

.jpg)
.jpg)
.jpeg)
.jpg)

.jpeg)