| Universiti Putra Malaysia

UPM anjur Program Pidato Perpaduan dan Kemanusiaan Peringkat Kebangsaan, perkasa bakat pengucapan awam generasi muda

Oleh: Noor Eszereen Juferi

 

SERDANG, 10 Jun - Universiti Putra Malaysia (UPM) menerusi Sekretariat Akademik dan Pembangunan Intelektual, Majlis Perwakilan Kolej, Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee (KTMB), Sesi 2025/2026 menganjurkan Program Pidato Perpaduan dan Kemanusiaan Peringkat Kebangsaan  baru-baru ini, sebagai platform memperkasa bakat pengucapan awam dalam kalangan mahasiswa dan pelajar sekolah.

 

Program itu dianjurkan bagi memupuk semangat perpaduan, meningkatkan kesedaran terhadap isu kemanusiaan serta memperkukuh kemahiran komunikasi dan pemikiran kritis generasi muda menerusi pengucapan awam.

 

Pengetua KTMB, Dr. Mohd Hafiz Mohd Zaid berkata program itu bukan sahaja menjadi medan mencungkil bakat baharu, malah berperanan mengeratkan hubungan antara mahasiswa dan pelajar sekolah daripada pelbagai latar belakang.

 

“Program ini diharapkan dapat diteruskan pada masa akan datang bagi melahirkan lebih ramai generasi muda yang berani menyuarakan pandangan, mempunyai nilai kemanusiaan yang tinggi serta mampu menjadi agen perpaduan dalam masyarakat,” katanya.

 

Ketua Program, Aida Nurhazirah Che Zahari, berkata pertandingan tersebut memberi peluang kepada peserta menyampaikan pidato berteraskan tema perpaduan dan kemanusiaan, selain mengetengahkan idea bernas berkaitan isu semasa.

 

“Melalui pertandingan ini, peserta dapat meningkatkan keyakinan diri, kemahiran komunikasi dan pemikiran kritis dalam menyampaikan hujah kepada khalayak,” katanya.

 

Program itu melibatkan penyertaan mahasiswa daripada kolej kediaman UPM iaitu KTMB, Kolej Tun Dr Ismail (KTDI), Kolej Pendeta Za’ba (KPZ), Kolej Empat Belas (K14) dan Kolej Sultan Alaeddin Suleiman Shah (KOSASS).

 

Pelajar KTMB, UPM yang juga pemenang Anugerah Perak Kategori Universiti, Neo Yong Qian, berkata penyertaannya dalam pertandingan pidato itu memberi pengalaman berharga kerana bukan sahaja mengasah kemahiran beliau berpidato dalam Bahasa Melayu, malah meningkatkan keyakinan diri serta kefahaman terhadap kepentingan bahasa kebangsaan.

 

“Ini membuktikan Bahasa Melayu merupakan medium penting dalam memupuk semangat perpaduan dalam kalangan pelajar,” katanya.

 

Sementara itu, pertandingan tersebut turut mendapat penyertaan pelajar daripada beberapa sekolah menengah antaranya Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Ampuan Durah, Negeri Sembilan; Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Serdang, Selangor; Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Indah, Selangor dan Sekolah Menengah Sains Seri Puteri, Kuala Lumpur.

 

Bagi kategori sekolah menengah, Anugerah Emas dimenangi oleh Iris Ramadhani Noor Mohamad dari Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Serdang, Selangor, manakala bagi kategori universiti, Anugerah Emas dirangkul Afif Afwan Rohizan dari KTMB, UPM.

 

 

WZHNBAd~