Oleh: Noor Eszereen Juferi
SERDANG, 7 Julai - Kelab MySTEM Ambassador, Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menjayakan program International STEM Outreach: Ayuh STEM@ASEAN - Desa Srigading Malang bagi memperkasakan pembelajaran bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM). STEM di Desa Srigading Malang, Indonesia, baru-baru ini.
Program ini yang diadakan untuk kali kedua menjadi bukti komitmen luar biasa kelab ini dalam usaha menyemarakkan minat pelajar terhadap STEM, khususnya di kawasan desa, tidak hanya di Malaysia, tetapi juga di peringkat antarabangsa.
Program ini memberi peluang kepada peserta untuk mengalami sendiri kehadiran STEM di dalam kehidupan seharian melalui pendekatan aktiviti hands-on.
Penasihat Kelab MySTEM Ambassador UPM, Prof. Madya Dr. Yap Wing Fen, berkata Melalui aktiviti yang menyeronokkan, pelajar diperkenalkan kepada pelbagai konsep sains seperti prinsip Bernoulli, keseimbangan, kekonduksian elektrik, ketumpatan, muatan haba tentu, serta sifat asid dan alkal.
“Program ini juga telah dirancang untuk merangsang pemikiran kritis dan mengasah kreativiti pelajar sekolah serta untuk menjadikan pembelajaran sains lebih menarik dan bermakna,” katanya.
Tambah beliau, harapan beliau program ini menjadi inspirasi serta menyemai minat pelajar terhadap potensi bidang STEM dengan memberi mereka peluang untuk melaksanakan dan mengaplikasikan teori yang telah dipelajari di dalam kelas.
“Konsep pembelajaran ini yang dibawa oleh fasilitator dari UPM berjaya membuka minda pelajar mengenai kepentingan pembelajaran STEM. Aktiviti yang dilakukan secara belajar sambil bermain ini telah berjaya menarik minat pelajar di Desa Srigading untuk menceburi bidang STEM,” katanya.
Selain itu, program ini disambut baik oleh Kepala Desa Srigading, Pak Hadori, yang menyifatkan pendekatan baru yang diperkenalkan oleh Kelab MySTEM Ambassador UPM memberi pendedahan yang sangat baik kepada pelajar di sekolah setempat.
Pak Hadori turut menekankan bahawa kedua-dua negara serantau menghadapi masalah yang sama, iaitu penurunan kadar pelajar yang berminat dengan bidang STEM.
“Program ini, berpotensi untuk mengatasi permasalahan kedua-dua negara serantau yang kini menghadapi penurunan kadar pelajar yang berminat dengan bidang STEM serta memperkukuhkan kesedaran mengenai pentingnya bidang tersebut,” katanya.
Pengarah program, Ahmad Danish Iskandar, berkata melalui pendedahan dari negara jiran mereka dapat mempelajari pelbagai pendekatan yang boleh diaplikasikan di tanah air bagi memupuk minat generasi muda terhadap STEM.
“Para fasilitator yang terlibat turut memperoleh kemahiran baharu, termasuk komunikasi berkesan dan penyelesaian masalah secara kritis. Kami eruja melihat semangat pelajar dalam menyertai aktiviti-aktiviti yang kami persembahkan, kemahiran komunikasi STEM juga dapat diasah dalam kalangan mahasiswa UPM.
“Seramai 10 orang fasilitator dari Kelab MySTEM Ambassador UPM terlibat dalam melaksanakan program ini. Para pelajar di Desa Srigading juga teruja dengan cara penyampaian aktiviti yang menggabungkan bahasa Melayu dan bahasa Indonesia memudahkan mereka untuk terus fokus dan memahami konsep yang diajarkan,” katanya.
Pelajar SDN Srigading, M. Rendi Saputra, berkata beliau sangat seronok mengikuti aktiviti yang dijalankan di program tersebut.
“Saya sekarang lebih suka belajar tentang sains sebab ia sangat menyeronokkan serta ingin mengajak kawan-kawan saya untuk belajar tentang STEM lepas saya sertai program ini," katanya.