| Universiti Putra Malaysia

SBESCare perkukuh hubungan mahasiswa UPM bersama komuniti Orang Asli

 

 

 

Oleh: Zarith Sofea Ibrahim

 

SERDANG, 21 Mei – Universiti Putra Malaysia (UPM) menerusi Majlis Perwakilan School of Business and Economics (SBESC) telah menganjurkan program SBESCare: Nurturing Rural Futures yang menghimpunkan mahasiswa bersama komuniti Orang Asli melalui pelbagai aktiviti interaktif dan bermakna bagi memperkukuh hubungan bersama komuniti.

 

 

Program yang berlangsung selama tiga hari di SK Pos Tenau, Slim River, Perak itu bertujuan memberi pendedahan kepada mahasiswa mengenai kepentingan khidmat masyarakat di samping memupuk nilai tanggungjawab sosial, empati serta kepimpinan.

 

 

Pengarah  program, Mohammad Fiqry Azwan Azhari berkata antara pengisian utama program ialah sesi STEM dan literasi kewangan yang dirangka dalam bentuk pembelajaran menyeronokkan bagi memperkenalkan konsep asas sains serta kesedaran pengurusan kewangan kepada murid-murid tersebut.

 

 

“Pendekatan secara praktikal dan mesra digunakan bagi menggalakkan penglibatan aktif serta meningkatkan minat pembelajaran dalam kalangan pelajar,” katanya.

 

 

Selain itu, aktiviti riadah seperti permainan bola sepak turut dianjurkan bagi mewujudkan suasana harmoni dan inklusif serta membuka ruang interaksi yang lebih dekat antara mahasiswa dan penduduk kampung.

 

 

Program turut diserikan dengan penganjuran Malam Semarak Budaya yang menjadi platform pertukaran dan penghargaan budaya menerusi persembahan Tarian Inang oleh para peserta serta Tarian Sewang oleh komuniti Orang Asli tempatan sekali gus mengukuhkan semangat saling menghormati dan menghargai tradisi dalam suasana penuh keceriaan.

 

 

 Pelajar Tahun 2 Bacelor Perakaunan, Ramesh A/L Prakash, berkata program tersebut memberi peluang kepada mahasiswa untuk lebih mendekati masyarakat Orang Asli serta memahami kehidupan komuniti itu dengan lebih mendalam.

 

 

“Program ini bukan sahaja memupuk semangat kesukarelawanan, malah turut mengajar nilai empati, kerjasama dan komunikasi dalam kalangan pelajar UPM,” katanya.

 

 

Rakannya, Farah Haziqah Husin, berkata pengalaman mengendalikan pelbagai aktiviti bersama komuniti setempat memberi banyak pengalaman baharu serta mengukuhkan semangat kerjasama dalam pasukan.

 

 

 

“Peluang untuk meluangkan masa bersama anak-anak Orang Asli dan komuniti merupakan pengalaman yang sangat bermakna dan sukar dilupakan,” katanya.

 

 

Sementara itu, program ini dilihat berjaya memberi impak positif melalui gabungan elemen pendidikan dan penglibatan komuniti selain membantu mahasiswa membangunkan kemahiran insaniah seperti komunikasi, kepimpinan dan kepekaan budaya.

 

 

Langkah ini juga mencerminkan komitmen berterusan SBESC dalam menyumbang kepada masyarakat serta melahirkan graduan yang holistik dan berdaya saing.

 

 

WZGLIAW~