| Universiti Putra Malaysia

“Sambung pengajian bukan hanya tentang kertas ijazah, tetapi tentang pembangunan diri,”– Mohd Hakim

Oleh: Noor Eszereen Juferi

 

 

SERDANG, 1 Disember – Komitmen tinggi terhadap pendidikan menjadi pemangkin kejayaan Mohd Hakim Hafiz, 39, yang bergraduat dalam Master Pendidikan (Kurikulum dan Pengajaran), Fakulti Pengajian Pendidikan (FPP) pada Majlis Konvokesyen UPM ke-49, Sidang 2, hari ini.

 

Mohd Hakim, yang berkhidmat sebagai Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Pendidikan Tinggi di Ibu Pejabat MARA Kuala Lumpur, berpandangan menyambung pengajian bukan hanya tentang kertas ijazah, tetapi tentang pembangunan diri.

 

 “Ilmu yang saya peroleh di UPM memberi nilai tambah yang terus boleh diterjemah dalam tugasan harian, terutama dalam memastikan masyarakat mendapat akses pendidikan berkualiti,” katanya.

 

Tambah beliau, pengalaman menempuh pengajian di UPM turut memperkukuh kefahaman profesionalnya dalam sektor pendidikan tinggi, sekali gus memantapkan peranannya dalam merangka dasar, pemantauan program serta inisiatif pembangunan pelajar di MARA. 

 

“Dalam ruang kerja tanpa kelayakan sarjana, majikan saya sentiasa menggalakkan staf menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi. Itu antara dorongan awal untuk saya kembali ke universiti,” katanya.

 

Mohd Hakim berkata, menyeimbangkan kerjaya dan pengajian memerlukan tahap ketahanan mental dan fizikal yang tinggi.

 

“Dalam pekerjaan saya komitmen hujung minggu kadangkala diperlukan dan saya perlu bijak membahagikan masa. Pengajian sarjana bukan semata-mata tentang memperoleh ijazah untuk kerjaya, tetapi juga untuk membina ketahanan diri dan sahsiah,” katanya.

 

Selama dua tahun pengajian, beliau bukan sahaja menimba ilmu kepakaran dalam bidang kurikulum, tetapi turut mengembangkan kemahiran insaniah seperti komunikasi, disiplin diri dan kecekapan mengurus tekanan.

 

Mohd Hakim yang mempunyai latar belakang sebagai pensyarah sebelum berpindah ke ibu Pejabat MARA pada 2018 bagi menguruskan aspek pendidikan 10 institusi pendidikan MARA, mengakui jadual kerjanya sering menuntut perjalanan luar daerah menyebabkan pertindihan dengan waktu kuliah.

 

“Tugas saya banyak memerlukan perjumpaan bersama pensyarah Kolej Profesional MARA dan kerja luar pejabat. Ada masanya kelas bertembung dengan urusan rasmi itu antara cabaran terbesar,” katanya.

 

Beliau berkata, terdapat ketika beliau hampir berputus asa kerana beban tugasan yang menuntut komitmen tinggi. Namun, sokongan berterusan daripada isterinya, Umi Aisyah Rebbuan, 41, menjadi kekuatan utama untuk terus bertahan hingga berjaya menamatkan pengajian.

 

Mengulas kecenderungan sesetengah remaja memilih gig ekonomi dan meninggalkan pengajian tinggi, Mohd Hakim menegaskan keperluan melihat pendidikan sebagai pelaburan jangka panjang.

 

“Dalam dunia hari ini, ramai remaja terarah kepada peluang pendapatan cepat. Bagi saya, sambung pengajian bukan hanya tentang kertas ijazah, tetapi tentang pembangunan diri,” katanya.

WYMCVAX~