| Universiti Putra Malaysia

Putra Heritage Tour perkasa orientasi staf baharu UPM secara holistik




SERDANG, 12 Januari
 – Universiti Putra Malaysia (UPM) terus memperkukuh proses pengenalan dan integrasi staf baharu melalui penganjuran Putra Heritage Tour, sebuah inisiatif pembelajaran berasaskan pengalaman yang memberi pendedahan menyeluruh mengenai sejarah, budaya, nilai dan warisan institusi.

Program ini dirangka sebagai pelengkap kepada modul orientasi konvensional dengan menawarkan pendekatan pembelajaran yang lebih interaktif dan bermakna melalui lawatan berpandu ke lokasi-lokasi penting dan bersejarah di sekitar kampus. Pendekatan ini membantu staf baharu bukan sahaja memahami struktur dan fungsi universiti, malah menghayati identiti UPM sebagai sebuah universiti penyelidikan terkemuka.

Menurut Juruteknik Komputer, Seksyen Perubatan Veterinar, Fakulti Perubatan Veterinar UPM, Mohd Aizuddin Mohd Hasbi, Putra Heritage Tour memberi peluang kepada staf baharu untuk mengenali UPM secara lebih dekat dan menyeluruh.

“Program ini membuka mata saya tentang sejarah dan peranan UPM yang sangat luas. Saya bukan sahaja lebih mengenali kampus, malah lebih memahami bagaimana setiap fakulti dan unit saling berkait dalam menyokong misi universiti.

“Penyertaan dalam Putra Heritage Tour memberi pengalaman yang sangat bermakna kerana saya berpeluang melihat sendiri keunikan dan kepelbagaian yang terdapat di UPM,” katanya.


Selain memperkukuh pengetahuan institusi, Putra Heritage Tour juga berperanan sebagai medium pembangunan modal insan melalui pemupukan kemahiran komunikasi, interaksi sosial dan semangat kerjasama dalam kalangan peserta.




Interaksi sepanjang aktiviti lawatan dan perbincangan berkumpulan membuka ruang kepada staf baharu untuk membina jaringan profesional serta mengukuhkan integrasi sosial dalam komuniti kampus.

Sementara itu, Penolong Pegawai Sains, Institut Penyelidikan Produk Halal UPM, Suwaibah Rozali berkata program ini sangat membantu staf baharu sepertinya untuk memahami persekitaran kerja dan budaya organisasi universiti.

“Sebagai staf baharu, saya merasakan Putra Heritage Tour amat bermanfaat kerana ia membantu saya mengenali tempat mencari rezeki saya dengan lebih dekat, selain membina rasa kebersamaan dan bangga menjadi sebahagian daripada warga UPM,” katanya.

Pelaksanaan Putra Heritage Tour dilaksanakan secara terancang dan berstruktur selari dengan aspirasi UPM untuk melahirkan warga kerja yang berpengetahuan, beretika dan berintegriti serta menghargai sejarah dan budaya institusi melalui pendekatan pembelajaran yang holistik.

UPM komited untuk terus memperkasa penglibatan warga kerja dan menyemai rasa bangga terhadap institusi melalui pelaksanaan inisiatif pembelajaran inovatif yang sejajar dengan visi kecemerlangan akademik dan pembangunan modal insan secara menyeluruh.

WZCHUA~