| Universiti Putra Malaysia

Pensyarah UPMS terima Fellowship APT, kongsi inovasi KitarNow di Forum ICT Asia-Pasifik

 

 

Oleh: Noor Eszereen Juferi

 

SERDANG, 17 Julai – Pensyarah Kanan Jabatan Sains Perhutanan, Fakulti Sains Pertanian dan Perhutanan, Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS), Dr. Keeren Sundara Rajoo, telah menerima fellowship daripada Asia-Pacific Telecommunity (APT) bagi menyertai 23rd APT Telecommunication/ICT Development Forum (ADF-23) sebagai penceramah jemputan di Conrad Bangkok, Thailand, baru-baru ini.

 

 

Pengiktirafan tersebut membolehkan beliau mewakili Malaysia untuk membentangkan inovasi KitarNow, sebuah platform digital yang dibangunkan bagi memperkukuh pengurusan sisa dan menyokong pelaksanaan ekonomi kitaran melalui penyelesaian berasaskan teknologi.

 

 

Beliau yang juga Ketua Laboratori Biodiversiti Borneo, Institut Ekosains Borneo (IEB), Universiti Putra Malaysia (UPM), membentangkan kertas kerja bertajuk Digitizing Waste Management: An Inclusive Circular Economy Approach for Malaysia and Beyond.

 

 

Dalam pembentangannya, Dr. Keeren berkongsi bagaimana platform KitarNow membantu meningkatkan penyelarasan, penjejakan dan pengurusan bahan kitar semula secara lebih sistematik bagi memperkukuh amalan ekonomi kitaran dan kelestarian di peringkat komuniti.

 

 

Selain itu, platform KitarNow dibangunkan oleh UPMS dengan kerjasama Tokyo University of Agriculture dan Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA). Aplikasi mudah alih itu menghubungkan penghasil bahan kitar semula, syarikat kitar semula serta pelbagai pihak berkepentingan dalam satu ekosistem digital yang memudahkan pengumpulan, pemantauan dan pengurusan bahan kitar semula.

 

 

Dr. Keeren berkata, sehingga 21 Mei 2026, KitarNow telah merekodkan penyertaan 43 organisasi di Bintulu dengan lebih 8,400 kilogram bahan kitar semula dikumpulkan, manakala lebih 8,100 kilogram berjaya diproses untuk dikitar semula. Sekolah dikenal pasti sebagai penyumbang awal terbesar dalam pelaksanaan inisiatif tersebut.

 

 

“Membangunan KitarNow membuktikan bahawa penyelesaian digital yang dibangunkan berasaskan keperluan tempatan mampu menangani cabaran sebenar dalam pengurusan sisa, termasuk akses yang terhad kepada syarikat kitar semula, jadual kutipan yang tidak konsisten serta sistem perekodan yang kurang sistematik.” katanya.

 

 

Tambah beliau, penerimaan fellowship daripada APT merupakan satu penghormatan yang membolehkan beliau berkongsi pengalaman Malaysia dalam memanfaatkan teknologi digital untuk memperkukuh kelestarian alam sekitar di peringkat serantau.

 

 

"Saya amat berbesar hati menerima fellowship daripada APT dan peluang untuk berkongsi pengalaman Malaysia melalui KitarNow di platform serantau ini. Pengiktirafan ini membuktikan bahawa inovasi yang dibangunkan berasaskan keperluan komuniti tempatan mampu memberi impak yang lebih luas apabila disokong oleh teknologi digital dan kerjasama strategik.

 

 

"Walaupun latar belakang saya bukan dalam bidang ICT saya percaya penyelesaian kepada cabaran alam sekitar memerlukan pendekatan rentas disiplin. Apabila kepakaran dalam sains alam sekitar, teknologi, dasar dan komuniti digabungkan, kita mampu menghasilkan penyelesaian yang lebih praktikal, inklusif dan mampan. Saya berharap KitarNow dapat menjadi contoh bagaimana universiti mampu memacu inovasi yang memberi manfaat kepada masyarakat, bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di peringkat antarabangsa," katanya.

 

 

Penyertaan Dr. Keeren di forum berprestij tersebut mencerminkan pengiktirafan antarabangsa terhadap kepakaran penyelidik UPM dalam membangunkan inovasi digital yang memberi impak kepada kelestarian alam sekitar mengukuhkan peranan universiti sebagai peneraju penyelesaian berasaskan penyelidikan untuk manfaat masyarakat dan pembangunan mampan.

 

 

 

Ini sejajar dengan aspirasi Pelan Pemacu Kesohoran Global Putra 2026–2035 melalui pelaksanaan strategi pengantarabangsaan yang menyeluruh bagi memperkukuh keterlihatan universiti di peringkat global, memperluas jaringan kerjasama antarabangsa, menyelaraskan keutamaan strategik institusi serta memacu kecemerlangan global secara mampan.

 

 

Dalam pada itu, ADF-23 menghimpunkan wakil kerajaan, badan kawal selia, organisasi antarabangsa, institusi akademik dan sektor swasta dari seluruh rantau Asia-Pasifik bagi membincangkan isu berkaitan kesalinghubungan digital, transformasi digital, keselamatan dan kepercayaan digital serta penggunaan teknologi baharu untuk menyokong pembangunan sosioekonomi yang inklusif.

 

 

Forum yang dianjurkan oleh APT dengan kerjasama Office of the National Broadcasting and Telecommunications Commission, Thailand itu turut menjadi platform kepada pasukan projek dari rantau Asia-Pasifik berkongsi pengalaman, cabaran dan amalan terbaik dalam pelaksanaan inisiatif ICT yang disokong oleh Jepun, Republik Korea dan Republik Rakyat China.

WZIMGAU~