Oleh: Noor Eszereen Juferi
SERDANG, 8 Julai – Pensyarah Kanan Jabatan Psikiatri, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr. Ruziana Masiran mengharumkan nama universiti apabila mewakili UPM dan Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAAS) sebagai pembentang poster pada IACAPAP World Congress 2026 yang berlangsung di Hamburg, Jerman, baru-baru ini.
Kongres berprestij itu menghimpunkan pakar, penyelidik dan pengamal kesihatan mental kanak-kanak serta remaja dari seluruh dunia bagi membincangkan perkembangan terkini dalam penyelidikan, amalan klinikal dan kerjasama antarabangsa dalam bidang psikiatri kanak-kanak dan remaja.
Penyertaan Dr. Ruziana menjadi lebih bermakna apabila beliau menerima IACAPAP Education Travel Grant, iaitu pengiktirafan yang diberikan kepada individu berpotensi dalam bidang psikiatri kanak-kanak dan remaja bagi menyokong pembangunan sebagai pakar klinikal-penyelidik serta menggalakkan penglibatan aktif dalam jaringan akademik dan profesional di peringkat antarabangsa.
Selain itu, kejayaan ini membuktikan komitmen berterusan UPM dalam merealisasikan aspirasi Pelan Pemacu Kesohoran Global Putra 2026–2035 melalui pelaksanaan strategi pengantarabangsaan yang menyeluruh bagi memperkukuh keterlihatan universiti di peringkat global, memperluas jaringan kerjasama antarabangsa, menyelaraskan keutamaan strategik institusi serta memacu kecemerlangan global secara mampan.
Sepanjang kongres tersebut, beliau membentangkan hasil penyelidikan selain berpeluang bertukar pandangan dengan pakar dari pelbagai negara mengenai cabaran, amalan terbaik dan pendekatan inovatif dalam penjagaan kesihatan mental kanak-kanak dan remaja. Penglibatan itu turut membuka ruang kepada penerokaan kerjasama penyelidikan serta pembangunan profesional yang berpotensi memperkukuh jaringan kolaborasi antarabangsa UPM.
Dr. Ruziana berkata, pengalaman menyertai kongres bertaraf dunia itu memberikan pendedahan yang amat bernilai, khususnya dalam memahami perkembangan terkini dalam bidang psikiatri kanak-kanak dan remaja serta terapi keluarga.
“Perkongsian ilmu bersama pakar dari pelbagai negara bukan sahaja memperkayakan perspektif saya sebagai ahli akademik dan pengamal klinikal, malah membuka peluang untuk membina jaringan penyelidikan yang mampu memberi impak kepada pembangunan perkhidmatan kesihatan mental di Malaysia,” katanya.
Beliau berkata, ilmu dan pengalaman yang diperoleh akan dimanfaatkan dalam amalan klinikal, penyelidikan serta pengajaran, khususnya bagi memperkukuh latihan pelajar pascasiswazah dan meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat.
“Pengalaman ini turut memperkukuh kecemerlangan penyelidikan serta memperluas jaringan kerjasama di peringkat global ke arah menghasilkan penyelidikan berimpak tinggi yang menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat dan pembangunan negara,” katanya.

.jpg)
.jpg)
.jpeg)
.jpg)

.jpeg)