Oleh: Noor Eszereen Juferi
SERDANG, 30 Julai – Penerbit Universiti Putra Malaysia (UPM) membuktikan keupayaannya menghasilkan penerbitan berprofil tinggi apabila berjaya menerbitkan buku biografi mewah Dari Pendang ke Bukit Aman: Jejak Integriti Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay yang mengabadikan hampir 35 tahun perjalanan perkhidmatan Timbalan Ketua Polis Negara itu dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Penerbitan eksklusif setebal 276 halaman itu diterbitkan hanya beberapa hari sebelum Tan Sri Ayob Khan menamatkan perkhidmatannya pada 26 Julai 2026 menjadikannya sebuah dokumentasi bersejarah yang merakam legasi kepimpinan, integriti dan sumbangan beliau kepada negara.
Ditulis oleh Pengarah Penerbit UPM, Profesor Ir. Ts. Dr. Mohamed Thariq Hameed Sultan, buku berkenaan menelusuri perjalanan hidup Tan Sri Ayob Khan daripada seorang anak kampung di Pendang, Kedah sehingga dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara, selain mengangkat pengalaman beliau dalam Cawangan Khas, Bahagian Counter-Terrorism, Ketua Polis Johor, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.
Profesor Ir. Ts. Dr. Mohamed Thariq berkata, penerbitan buku tersebut merupakan satu pencapaian penting kepada Penerbit UPM kerana berjaya mendokumentasikan perjalanan hidup seorang tokoh kepolisan negara dalam bentuk penerbitan mewah yang menggabungkan penulisan biografi, dokumentasi sejarah, fotografi, reka bentuk kreatif dan editorial berkualiti tinggi.
“Penerbitan itu bukan sekadar menghimpunkan fakta sejarah, malah menjadi penghormatan terhadap jasa, pengorbanan dan kepimpinan Tan Sri Ayob Khan yang akan terus menjadi rujukan kepada generasi akan datang.
“Kerjasama strategik antara Penerbit UPM, Polis Diraja Malaysia, Yayasan Generasi Malaysia dan Yayasan Pembangunan Buku Negara turut memperkukuh usaha mengabadikan kisah kepimpinan tokoh negara dalam sebuah karya yang bernilai sejarah dan ilmiah,” katanya.
Selain itu, buku tersebut mengetengahkan nilai amanah, keberanian dan integriti sebagai asas kepimpinan yang membentuk perjalanan kerjaya Tan Sri Ayob Khan daripada kehidupan sederhana di Pendang sehingga ke tampuk kepimpinan tertinggi PDRM.
Dalam pada itu, majlis pelancaran buku itu disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam pada 23 Julai lalu. Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Tan Sri Profesor Datuk Wira Dr. Abdul Latiff Abu Bakar serta barisan kepimpinan tertinggi PDRM.



.jpg)


