| Universiti Putra Malaysia

Pelajar UPM anjur Program Teach the Needs 8.0, inisiatif pendidikan percuma di PPR Ukay Indah

Oleh: Noor Eszereen Juferi

 

SERDANG, 2 Julai – Pelajar Sekretariat Kesukarelawanan dan Pengantarabangsaan, Majlis Perwakilan Kolej (MPK), Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee, Universiti Putra Malaysia (UPM), telah

menganjurkan Teach the Needs 8.0 sebagai inisiatif program pendidikan percuma kepada kanak-kanak di PPR Ukay Indah, baru-baru ini.

 

Program ini bertujuan menyokong pendidikan anak-anak daripada keluarga B40 di kawasan berkenaan.

 

Pengarah Program Teach the Needs 8.0, Khoo Xue Hui berkata, program ini dilaksanakan bagi memastikan setiap individu mendapat peluang pendidikan yang sama rata tanpa mengira latar belakang atau status kewangan.

 

“Melalui inisiatif ini, kami bukan sahaja memberi peluang kepada mereka yang memerlukan, tetapi juga memupuk kesedaran dan rasa tanggungjawab sosial dalam kalangan para sukarelawan,” katanya.

 

Program tersebut turut dihadiri oleh Felo Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee, Ezza Sabrina Azmi; wakil JMB Ukay Indah, Encik Mohd Yusof Che Mansor; dan Pengerusi Persatuan Penduduk Pangsapuri Ukay Indah, Norliza Bohari.

 

Seramai 37 sukarelawan dalam kalangan mahasiswa UPM telah turun padang bagi menjalankan sesi pembelajaran bersama 42 orang pelajar berumur antara 7 hingga 12 tahun. Kelas bermula seawal jam 9.00 pagi dan meliputi subjek Bahasa Inggeris, Sains, dan Matematik.

 

Pelajar Bacelor Sains Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan (Kepujian), Muhammad Ammar Irfan bin Mohd Shakir, 20, berkata penyertaannya dalam program Teach the Needs 8.0 memberinya pengalaman baharu yang sangat bermakna.

 

“Melalui program ini, saya belajar untuk lebih peka terhadap isu ketidaksamarataan dalam pendidikan. Ia bukan sahaja membantu pelajar yang memerlukan, tetapi juga mengajar kami nilai empati dan kerjasama dalam pasukan,” katanya.

 

Sementara itu, pelajar Doktor Perubatan Veterinar, Fakulti Perubatan Veterinar UPM, Pavweena a/p Shanmugam berkata, program ini membuka peluang untuk menyumbang kembali kepada masyarakat, terutamanya kepada mereka yang kurang bernasib baik.

 

“Ramai yang masih menghadapi kesukaran untuk meneruskan pelajaran kerana kekangan kewangan. Melalui program ini, kami dapat membantu serba sedikit serta memberi sokongan moral kepada mereka,” katanya.

 

WYHQHAd~