| Universiti Putra Malaysia

Pelajar Dietetik UPM bantu tingkat kesedaran pemakanan sihat kanak-kanak autisme melalui Program PUTRA CILIK

 

Oleh: Noor Eszereen Juferi

 

 

SERDANG, 14 Mei - Isu pemakanan sihat dalam kalangan kanak-kanak autisme terus diberi perhatian apabila sekumpulan pelajar tahun akhir Bacelor Sains Dietetik dengan Kepujian, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), Universiti Putra Malaysia (UPM) menganjurkan Program PUTRA CILIK: Celik Pemakanan, Celik Kesihatan di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Permata Hati Seri Kembangan, baru-baru ini.

 

 

Program anjuran bersama Jabatan Dietetik, Fakulti Perubatan Sains Kesihatan (FPSK) - Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAAS), UPM itu menghimpunkan ibu bapa, kanak-kanak autisme serta wakil daripada beberapa PDK jemputan termasuk PDK Al-Mawaddah, PDK Sentosa, Putra-PDK dan Pusat Jagaan Autisme CSEAT.

 

 

Inisiatif berasaskan komuniti itu bertujuan meningkatkan pengetahuan, sikap dan amalan berkaitan pemakanan sihat dalam kalangan ibu bapa, selain memberi pendedahan mengenai pengurusan pemakanan yang sesuai untuk kanak-kanak autisme.

 

 

Pengarah Program, Nurul Najihah Zulkifli, berkata program berkenaan menjadi platform kepada pelajar untuk mengaplikasikan ilmu dietetik secara praktikal sambil membantu masyarakat memahami kepentingan pengurusan pemakanan yang betul.

 

 

“Melalui pendekatan santai dan interaktif, ibu bapa dapat memahami cara mengurus pemakanan anak dengan lebih sistematik serta mudah diaplikasikan dalam kehidupan seharian,” katanya.

 

 

Pelbagai pengisian telah diadakan sepanjang program termasuk sesi pendidikan pemakanan, aktiviti interaktif dan perkongsian pendekatan praktikal berkaitan amalan pemakanan sihat.

 

 

Program itu turut mendapat sokongan 18 syarikat industri yang menyumbang tajaan berbentuk barangan (in-kind) bernilai kira-kira RM30,337.40 bagi membantu kelancaran pelaksanaan program serta memperkukuh jaringan kerjasama antara universiti, komuniti dan industri.

 

 

Selain itu, penganjuran program tersebut dilihat bukan sahaja memberi manfaat kepada komuniti setempat, malah memperkukuh peranan institusi pengajian tinggi dalam meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan kesihatan dan amalan pemakanan seimbang, khususnya dalam kalangan kanak-kanak berkeperluan khas.

 

Wakil PDK Permata Hati Seri Kembangan, Nurfarizah Abdul Sabhe, berkata program seperti itu memberi manfaat besar kepada ibu bapa dalam memperoleh pendedahan berkaitan amalan pemakanan sihat dan pengurusan pemakanan anak-anak autisme.

 

 

“Pengisian yang dijalankan sangat membantu kerana disampaikan secara interaktif dan mudah difahami. Ibu bapa bukan sahaja mendapat ilmu baharu, malah berpeluang berkongsi pengalaman serta cabaran yang dihadapi dalam penjagaan anak-anak,” katanya.

 

 

Pelajar Bachelor Sains Dietetik dengan Kepujian, FPSK, UPM, Syaza Hannah Abd Rais, berkata program berbentuk komuniti seperti ini membantu pelajar mengasah kemahiran komunikasi dan kaunseling pemakanan secara lebih praktikal.

 


“Program ini membuka peluang kepada kami untuk menyampaikan ilmu pemakanan dalam suasana yang santai dan mudah difahami serta meningkatkan keyakinan kami sebagai bakal pegawai dietetik pada masa hadapan,” katanya.

WZGJNAe~