
Oleh: Zarith Sofea Ibrahim
Foto oleh: Muhammad Nur Zairi Mohd Nazari
SERDANG, 20 Mei – Kesetiaan dan komitmen selama lebih empat dekad di Universiti Putra Malaysia (UPM) melayakkan Mohd Kassim Harun menerima Anugerah Perkhidmatan Melebihi 40 Tahun sempena Majlis Gemilang Putra (MGP) 2026 semalam.
Mohd Kassim yang bertugas sebagai Pembantu Pustakawan di Perpustakaan Sultan Abdul Samad (PSAS), UPM memulakan kerjayanya di UPM pada tahun 1985 sebagai Pelayan Pustakawan sebelum dilantik ke jawatan sekarang.
Beliau yang telah lebih 40 tahun berkhidmat di perpustakaan berkata, sepanjang tempoh itu tugas utamanya banyak melibatkan urusan kaunter, penyusunan buku serta membantu pelajar mendapatkan bahan rujukan dengan lebih mudah.
“Kerja di kaunter banyak berhubung dengan pelajar. Selain menyusun buku, kita juga bantu mereka mencari bahan yang diperlukan supaya lebih mudah,” katanya.
Menyentuh mengenai kenangan sepanjang berkhidmat, Mohd Kassim berkata pengalaman menyertai perarakan Hari Kebangsaan bersama warga UPM di Kuantan, Pahang pada tahun 2004 merupakan antara momen paling diingatinya kerana dapat mewakili universiti.
“Saya masih ingat ketika itu UPM menjadi johan dan hampir 10 bas pergi bersama-sama ke Kuantan, Pahang untuk menyertai perarakan Hari Kebangsaan serta ini secara langsung mengeratkan hubungan bersama rakan sekerja dalam suasana penuh semangat patriotik dan kebersamaan,” katanya.
Beliau turut berkongsi pandangan dalam mengharungi lebih empat dekad perkhidmatan bertugas tugas di kaunter perpustakaan yang menuntut kesabaran yang tinggi kerana perlu berhadapan dengan pelbagai kerenah pelajar serta perlu bersikap positif dan profesional dalam menjalankan tugas.

“Prinsip saya mudah kita kena hormat orang lain dan bekerjasama. Dalam kerja kita bukan bergerak sendiri tetapi perlu saling membantu,” katanya.
Mohd Kassim berkata, suasana kerja yang positif serta sokongan rakan sekerja menjadi faktor utama beliau kekal setia bersama UPM sehingga hari ini.
Sepanjang perkhidmatannya, beliau pernah menerima beberapa pengiktirafan termasuk anugerah sempena 20 tahun dan 30 tahun perkhidmatan sebelum menerima penghargaan bagi perkhidmatan melebihi 40 tahun pada tahun ini.
Beliau turut menitipkan nasihat kepada staf muda supaya sentiasa menjaga adab, komunikasi serta hubungan baik sesama rakan sekerja.
“Kita kena sesuaikan diri dengan persekitaran kerja, jangan sombong dan sentiasa hormat orang lain tidak kira tua atau muda,” katanya.






