Oleh Noor Eszereen Juferi
Foto Oleh: Noor Azreen Awang
SERDANG, 31 Julai - Pembinaan ekosistem yang membolehkan penyelidik, pensyarah, pelajar dan seluruh warga universiti berkembang bersama menjadi teras penting dalam memperluas sumbangan Universiti Putra Malaysia (UPM) terhadap sektor pertanian dan agenda keterjaminan makanan negara.
Naib Canselor UPM, Dato’ Prof. Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd. Sadullah, berkata kekuatan sesebuah institusi lahir daripada keupayaan warganya menyatukan kepakaran, membina kepercayaan dan bergerak menuju matlamat yang sama.
“Walau apa pun bidang yang kita perjuangkan, kejayaan memerlukan kerja berpasukan. Dalam sesebuah pasukan mesti ada kepercayaan antara satu sama lain.
“Setiap kepimpinan yang dilaksanakan perlu berteraskan semangat kerja berpasukan kerana di situlah lahirnya kekuatan sesebuah organisasi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Syarahan Umum Rashdan Baba Siri Ke-9 bertajuk From Researcher to Leader: Reflections on Three Decades in Academia, yang menghimpunkan refleksi perjalanan lebih 30 tahun beliau dalam dunia akademik daripada seorang penyelidik kepada pemimpin institusi pengajian tinggi.
Menurut Dato’ Prof. Ir. Dr. Ahmad Farhan, pengalaman tersebut memperlihatkan bahawa ukuran kejayaan seseorang ahli akademik turut berkembang seiring dengan amanah kepimpinan yang dipikul.
Pada peringkat awal kerjaya, kecemerlangan lazimnya diukur melalui penerbitan ilmiah, geran penyelidikan dan sitasi. Namun, apabila memimpin sesebuah institusi, tumpuan perlu diperluas kepada usaha membangunkan persekitaran yang membolehkan lebih ramai penyelidik, pensyarah dan pelajar mencapai kecemerlangan.
“Kepimpinan bukan lagi mengenai pencapaian peribadi tetapi usaha membina institusi yang mampu memberi manfaat kepada masyarakat dan terus berkembang melangkaui tempoh perkhidmatan seseorang,” katanya.
Beliau berkata pencapaian individu akan memberikan impak yang lebih besar apabila digembleng sebagai kekuatan bersama, disokong oleh budaya profesional yang menghargai kepelbagaian pandangan dan membuka ruang kepada idea baharu.
Pendekatan itu, katanya, selari dengan aspirasi True North UPM yang memberi penekanan kepada tadbir urus yang memudah cara, pembangunan bakat kompeten serta pembudayaan kepimpinan berasaskan kepercayaan dan kerjasama.
“Warga UPM perlu menjadi pemudah cara serta menguruskan perbezaan pandangan secara profesional. Budaya inilah yang akan mewujudkan persekitaran kerja yang positif dan membolehkan setiap warga memberikan sumbangan terbaik kepada universiti,” katanya.
Dato’ Prof. Ir. Dr. Ahmad Farhan turut menyatakan keyakinan terhadap keupayaan warga UPM untuk terus mencetuskan idea dan inovasi yang dapat memperluas manfaat kepakaran universiti kepada masyarakat serta negara.
“Jika kita terus memelihara budaya ini dan berani membawa idea-idea baharu, saya percaya UPM akan terus unggul dalam bidang pertanian dan terus memimpin agenda keterjaminan makanan negara,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Pusat Pembangunan dan Kecemerlangan Kepemimpinan Akademik (CADe-Lead), UPM, Profesor Madya Ts. Dr. Wan Zuhainis Saad, berkata Syarahan Umum Rashdan Baba menjadi wadah penting untuk warga akademik menimba pengalaman, pemikiran dan nilai kepimpinan daripada tokoh yang telah membuktikan kecemerlangan dalam bidang masing-masing.
“Siri syarahan ini memperkaya budaya ilmu di UPM menerusi perkongsian pengalaman dan nilai kepimpinan yang boleh diterjemahkan kepada tindakan demi manfaat institusi, masyarakat dan negara,” katanya.



.jpg)


