| Universiti Putra Malaysia

Inovasi Model HyFlex UPM raih Anugerah Pembentang Terbaik di Persidangan ASAIHL 2026

Oleh: Noor Eszereen Juferi

 

SERDANG, 7 Julai – Inovasi pendidikan tinggi yang dibangunkan oleh penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila Pensyarah Kanan, Jabatan Komunikasi, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK), Dr. Nur Atirah Kamaruzaman, dinobatkan sebagai penerima Anugerah Best Presenter pada Asian Lifelong Learning Conference (ASAIHL) 2026 yang berlangsung di Universiti Malaysia Sabah (UMS), baru-baru ini.

 

Pengiktirafan itu diraih menerusi pembentangan bertajuk From Delivery to Co-Creation: Rethinking HyFlex for Sustainable Higher Education dalam Trek Transformasi Digital dan Inovasi dalam Pendidikan mengangkat kepakaran UPM dalam membangunkan pendekatan baharu pendidikan tinggi yang lebih inklusif, fleksibel dan mampan.

 

Dr. Nur Atirah memperkenalkan HyFlex Ecosystem Model (HEM), iaitu model konseptual yang mentransformasikan pendekatan pembelajaran daripada berasaskan penyampaian kepada penciptaan bersama (co-creation). Model tersebut menghubungkan universiti, industri dan pelajar sebagai rakan strategik dalam mereka bentuk pengalaman pembelajaran yang responsif terhadap keperluan industri dan cabaran masa depan.

 

Beliau berkata, HEM menggabungkan komunikasi partisipatori, teknologi digital dan kolaborasi industri bagi memperkukuh kebolehpasaran graduan, memperluas amalan pembelajaran sepanjang hayat serta menyokong kelestarian sistem pendidikan tinggi.

 

“Pendidikan tinggi perlu bergerak daripada sekadar menyampaikan ilmu kepada membina ekosistem pembelajaran yang melibatkan semua pihak berkepentingan secara aktif. Pendekatan ini mampu menghasilkan graduan yang lebih bersedia menghadapi perubahan dunia pekerjaan,” katanya.

 

Penyelidikan tersebut merupakan hasil pembiayaan Geran Penyelidikan Inisiatif Putra Muda (GP-IPM) UPM mencerminkan komitmen universiti dalam menghasilkan penyelidikan berimpak tinggi yang menyumbang kepada pembangunan dasar dan amalan pendidikan tinggi di peringkat antarabangsa.

 

Anugerah Best Presenter diberikan berdasarkan kriteria kecemerlangan penyelidikan, keaslian idea, inovasi, kualiti penyampaian serta potensi impak penyelidikan terhadap pembangunan pendidikan tinggi.

 

Kejayaan ini mencerminkan komitmen UPM dalam merealisasikan aspirasi Pelan Pemacu Kesohoran Global Putra 2026–2035 yang menggariskan strategi pengantarabangsaan secara menyeluruh bagi memperkukuh keterlihatan global, memperluas penglibatan antarabangsa, menyelaraskan keutamaan institusi serta memacu kecemerlangan global secara mampan.

 

Dalam pada itu, Persidangan ASAIHL 2026 menghimpunkan pemimpin universiti, penyelidik dan ahli akademik dari beberapa negara termasuk Malaysia, Thailand, Indonesia, Filipina, Jepun, Kemboja dan Uzbekistan bagi membincangkan agenda pembelajaran sepanjang hayat, transformasi digital dan masa depan pendidikan tinggi.

 

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), UPM, Prof. Ir. Dr. Abd. Rahim Abu Talib mengetuai penyertaan UPM dengan membentangkan Country Paper mewakili Malaysia, manakala Pengarah Pusat Pembangunan dan Kecemerlangan Kepemimpinan Akademik (CADe-Lead), UPM,  Prof. Madya Dr. Wan Zuhainis Saad membentangkan kajian From Policy to Practice: Transforming Higher Education Systems through Values-Driven Lifelong Learning dan Pengarah Pusat Antarabangsa Putra (i-PUTRA), UPM, Prof. Dr. Alyani Ismail membentangkan kajian Bridging Smart City Talent Gaps through Lifelong Learning and Strategic Capacity Building in Malaysia.

 

 

WZHXBA2~