| Universiti Putra Malaysia

Graduan Sains Ceburi Perniagaan Matcha Sambil Lanjutkan Pengajian MBA

Oleh Syahrul Hakim Fauzi

 

 

SERDANG, 1 Dis - Majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) kali ke-49 menjadi detik manis buat Farhah Bahiyah Binti Yusof, seorang graduan Bacelor Sains Biologi Sel dan Molekul dengan Kepujian, yang membuktikan minat mendalam dalam bidang akademik dan keusahawanan mampu digalas serentak.

 

Bertitik tolak daripada minat mendalam terhadap perniagaan, beliau mengambil inspirasi daripada keluarga, di mana ayah dan abangnya turut berkecimpung dalam bidang Makanan dan Minuman (F&B). Dorongan ini telah mendorong anak bongsu daripada lapan adik-beradik ini untuk membina empayar perniagaannya sendiri, yang kini popular dengan hidangan minuman matcha.

 

Perjalanan dalam perniagaan matcha ini bermula di Kedah, di mana beliau mengusahakannya sebelum menyerahkan urusan tersebut kepada rakan niaga setelah beliau berpindah ke Selangor. Keazaman beliau tidak terhenti di situ, apabila beliau membuka cawangan baharu dan membuat penampilan sulung di Selangor melalui pembukaan kiosk di sebuah acara di UPM. Pencapaian ini disifatkan sebagai mercu tanda penting dalam perkembangan jenamanya.

 

Namun, menguruskan perniagaan sambil bergelar seorang pelajar bukanlah laluan yang mudah. Beliau berdepan pelbagai cabaran di peringkat awal, termasuklah terpaksa bergelut dengan cuaca yang tidak menentu, di mana beliau dan rakan niaga sering terpaksa mengemas kiosk dengan tergesa-gesa. Selain itu, beliau mengakui bahawa proses memperoleh semula pulangan modal memerlukan tahap kesabaran yang tinggi.

 

Beliau turut menyatakan bahawa membahagikan masa antara perniagaan dan pembelajaran memerlukan komitmen tinggi, namun minat yang mendalam berfungsi sebagai pendorong utama.

 

Bagi pelajar yang berminat menceburi bidang perniagaan, beliau berpesan bahawa dunia keusahawanan adalah sesuatu yang menyeronokkan dan mencabar, dan yang paling penting, ia mampu memberi kepuasan apabila dapat menawarkan produk dan perkhidmatan yang bermanfaat kepada masyarakat. Justeru, beliau menasihatkan golongan belia agar berani keluar daripada zon selesa dan mencuba bidang perniagaan.

 

Kini, berbekalkan pengalaman mengusahakan perniagaan sendiri, Farhah mengambil keputusan menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi, iaitu Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA), bagi menambah ilmu serta mengaplikasikannya dalam cita-citanya untuk menembusi pasaran antarabangsa pada masa hadapan.

WYMCLAY~