Oleh: Husnina Zahra Hadri
Foto Oleh: Muhammad Nur Zairi Mohd Nazari

SERDANG, 20 Mei – Kejayaan seorang pendidik sering kali lahir daripada insan yang terlebih dahulu mengajar mereka tentang makna ilmu dan kehidupan.
Pensyarah Kanan, Jabatan Bahasa Inggeris, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK), Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Ilyana Jalaluddin, berkata semuanya bermula daripada didikan arwah ayahnya yang menjadi sumber inspirasi terbesar sehingga membawa beliau menerima Anugerah Fellowship Naib Canselor Kategori Pengajaran (AFNC-KP 2025).
“Pemberi inspirasi paling besar dalam hidup saya sebenarnya ialah arwah ayah saya. Arwah seorang guru, beliau banyak mengajar saya memahami makna sebenar menjadi seorang pendidik.
“Arwah ayah banyak membentuk cara saya melihat dunia pendidikan, terutama tentang bagaimana seorang pendidik perlu mendahulukan sifat empati, kesabaran dan keikhlasan. Kesemua nilai itu yang saya pegang sehingga hari ini,” katanya.
Anak kelahiran Perak ini berkata, anugerah yang diterima juga merupakan hasil sokongan ramai pihak termasuk keluarga, rakan sejawat dan staf FBMK yang sentiasa memberi ruang untuk beliau berkembang dalam dunia akademik.
“Anugerah yang diterima bukan sekadar pengiktirafan peribadi tetapi merupakan simbol penghargaan terhadap segala usaha serta sokongan warga FBMK yang sentiasa memberi ruang untuk saya terus menyumbang dalam pendidikan,” katanya.
Dr. Ilyana percaya dunia pendidikan hari ini memerlukan pendidik yang sentiasa bersedia menyesuaikan diri dengan perkembangan semasa, khususnya dalam penggunaan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), realiti maya (VR) dan realiti terimbuh (AR).
“Kita perlu belajar untuk berada seiring dengan perkembangan teknologi dan melakukan secara berterusan supaya pengajaran kekal relevan.
“Saya juga menghadapi cabaran terbesar untuk mengimbangi peranan sebagai pendidik dan juga penyelidik pada masa yang sama,” katanya.
Anak kedua daripada lima adik beradik ini turut menggalas tanggungjawab sebagai penyelidik serta individu yang sentiasa dekat dengan pelajar menjadikan kerjaya akademik yang diceburi penuh dengan cabaran dan tanggungjawab yang besar.
Sementara itu, Dr. Ilyana kini memberi fokus kepada penyelidikan berkaitan pendidikan Bahasa Inggeris melalui penggunaan teknologi inovatif, khususnya bagi membantu pelajar luar bandar mendapatkan akses pembelajaran yang lebih efektif.
“Saya mahu lebih ramai masyarakat luar bandar turut merasai manfaat teknologi dalam pembelajaran Bahasa Inggeris,” katanya.
Beliau turut menitipkan nasihat kepada mahasiswa dan pendidik muda supaya tidak terlalu mengejar kejayaan dalam tempoh singkat, sebaliknya memberi ruang untuk terus belajar dan memperbaiki diri secara konsisten.
“Kejayaan yang mampan lahir daripada usaha berterusan, disiplin serta kesediaan untuk menerima teguran dan cabaran sepanjang perjalanan menuntut ilmu serta membina kerjaya,” katanya.






