Oleh: Aimi Mohamad Farid
Foto oleh: Muhammad Nur Zairi Mohd Nazari
SERDANG, 21 Mei - Berdiri teguh dalam dunia penyelidikan bukanlah satu perjalanan yang mudah, namun ketahanan diri dan semangat untuk memberi khidmat kepada masyarakat dan negara menjadi pegangan utama beliau sepanjang menabur bakti dalam bidang akademik dan industri.
Pensyarah Jabatan Kejuruteraan Sistem Komputer dan Komunikasi, Fakulti Kejuruteraan, Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Fakhrul Zaman Rokhani berkata penerimaan Anugerah Fellowship Naib Canselor Kategori Penyelidikan dan Inovasi (AFNC-KPI) 2025 menjadi satu penghargaan bermakna buat beliau selepas bertahun-tahun mencurahkan bakti dalam dunia akademik dan penyelidikan.
“Alhamdulillah, berasa gembira dan bersyukur atas penerimaan penganugerahan ini. Saya akui aktif dalam bidang penyelidikan berkaitan teknologi semikonduktor dan elektronik. Pada masa yang sama, saya teringat kepada individu-individu yang banyak menyumbang kepada perjalanan kerjaya saya sehingga menerima anugerah ini,” katanya ketika ditemui selepas menerima anugerah di Majlis Gemilang Putra 2026 di sini.
Mengimbas kembali perjalanan kerjayanya, beliau berkata cabaran terbesar yang pernah dihadapi berubah mengikut fasa kehidupan dan kerjaya.
“Pada peringkat awal sebagai staf akademik saya bersama rakan-rakan berusaha keras memperkenalkan penyelidikan kami kepada pihak industri, termasuk menggunakan wang sendiri untuk menghadiri pertemuan dengan syarikat luar,” katanya.
Namun begitu, cabaran yang paling memberi kesan kepada beliau berlaku pada tahun 2019 apabila anaknya mengalami kecederaan serius ketika beliau sedang sibuk membuat persiapan bagi pertandingan dan pameran penyelidikan.
“Ketika itu memang mencabar untuk mengimbangi keluarga dan kerjaya tetapi alhamdulillah semuanya dipermudahkan dengan sokongan keluarga dan rakan-rakan jabatan,” katanya.
Inspirasi terbesar hidupnya datang daripada kedua ibu bapanya, dimana bapanya yang merupakan seorang guru banyak memberikan inspirasi dalam bidang kejuruteraan, manakala ibunya menjadi pendorong utama untuk beliau melanjutkan pengajian sehingga ke peringkat PhD.
“Mak saya selalu berpesan, bila sudah jadi doktor nanti, bantulah orang lain. Sehingga sekarang, saya masih aktif berkhidmat kepada masyarakat dan itu menjadi inspirasi besar kepada saya,” katanya.
Selain itu, beliau turut menghargai pengorbanan isterinya yang sentiasa menjadi tulang belakang sepanjang kerjayanya sebagai penyelidik dan pensyarah.
Menyentuh prinsip hidup yang dipegang sepanjang berkhidmat, Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Fakhrul Zaman menekankan tiga perkara utama iaitu ilmu, ketahanan diri dan khidmat kepada masyarakat.
“Seorang penyelidik perlu sentiasa mencari ilmu baharu dan mempunyai kekuatan mental yang tinggi kerana dunia penyelidikan sering dipenuhi ketidakpastian dan cabaran.
“Sebagai penyelidik, kita sentiasa berjalan dalam gelap dan tidak tahu bagaimana penghujungnya, tetapi kita perlu yakin usaha itu akan membuahkan hasil,” katanya.
Dalam masa yang sama, beliau berharap dapat terus menyumbang kepada pembangunan industri semikonduktor negara yang kini menjadi antara fokus strategik Malaysia, khususnya dalam aspek penyelidikan.
“Ketahanan diri dan semangat untuk terus berusaha amat penting dalam menghadapi cabaran dunia akademik dan kehidupan khususnya buat generasi muda yang bakal meneruskan legasi ilmu dan penyelidikan negara,” katanya.
Beliau juga menitipkan nasihat kepada pensyarah muda dan mahasiswa agar sentiasa cekal menghadapi cabaran serta terus berusaha dalam bidang yang diminati.
“Jika itu bidang yang anda minat dan mahu ceburi, teruskan walau apapun cabaran yang datang. Kena kental dan teruskan berusaha, Insya-Allah akan ada sinar di penghujung jalan,” katanya.






