| Universiti Putra Malaysia

COSAFS2026 perkukuh agenda keselamatan makanan, AgriHub pacu transformasi pertanian Sarawak

Oleh: Noor Eszereen Juferi

 

BINTULU, 3 Ogos – Universiti Putra Malaysia (UPM) memperkukuh agenda pertanian lestari dan keselamatan makanan menerusi penganjuran Congress on Sustainable Agriculture and Food Security 2026 (COSAFS2026) yang menghimpunkan pakar antarabangsa, penyelidik, pembuat dasar dan pemain industri bagi membincangkan penyelesaian terhadap cabaran sistem makanan global, selain menyaksikan pelancaran AgriHub, platform transformasi sektor agromakanan Sarawak.

 

Kongres yang dianjurkan oleh Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) dengan kerjasama Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (M-FICORD) serta International Society for Nutraceuticals and Functional Foods (ISNFF), bersempena Sarawak Agrofest 2026.

 

Bertemakan “Feeding the Future, Fostering Sustainable Food”, kongres itu menjadi platform perkongsian ilmu dan jaringan kerjasama antarabangsa dalam memperkasa pertanian lestari, keselamatan makanan, inovasi teknologi, bioekonomi dan pembangunan agroindustri yang lebih berdaya tahan.

 

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Dr. Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg, berkata sektor pertanian bukan sekadar menghasilkan makanan, malah menjadi pemacu keselamatan makanan, pertumbuhan ekonomi luar bandar, pemeliharaan biodiversiti dan kesejahteraan generasi akan datang.

 

“COSAFS2026 menyediakan platform penting untuk memperkukuh kerjasama rentas disiplin, dialog dasar, pemindahan teknologi dan jaringan antarabangsa supaya hasil penyelidikan dapat diterjemahkan kepada dasar awam, inovasi serta pembangunan industri.

 

“Penyelesaian kepada cabaran keselamatan makanan memerlukan kerjasama erat antara kerajaan, institusi akademik, industri dan komuniti. Melalui kongres ini, penyelidikan dan inovasi dapat diterjemahkan kepada tindakan yang memberi manfaat kepada pembangunan sektor agromakanan dan kesejahteraan masyarakat,” katanya.

 

Penganjuran COSAFS2026 turut menyokong aspirasi Sarawak untuk memperkukuh sektor agromakanan serta merealisasikan sasaran negeri sebagai pengeksport makanan menjelang tahun 2030.

 

Bersempena majlis itu, Premier Sarawak turut melancarkan AgriHub, sebuah platform transformasi pertanian yang diterajui UPMS bagi mengintegrasikan penyelidikan, inovasi teknologi, kerjasama strategik antara kerajaan, institusi akademik, industri dan komuniti dalam usaha memodenkan sektor agromakanan Sarawak.

 

AgriHub merangkumi tiga inisiatif utama iaitu AgriHub@Gedong, AgriHub@Layar dan AgriHub@Marudi yang memberi fokus kepada pembangunan pertanian pintar, pengkomersialan teknologi, pemerkasaan komuniti serta pembangunan agroindustri berasaskan kekuatan setempat.

 

Inisiatif itu dijangka meningkatkan produktiviti sektor pertanian, memperkukuh keselamatan makanan dan membangunkan ekosistem agroindustri yang lebih berdaya tahan, sekali gus menyokong aspirasi Sarawak sebagai hab pertanian moden dan peneraju keselamatan makanan di rantau ini.

 

Naib Canselor UPM, Dato’ Prof. Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd. Sadullah, berkata tema kongres tahun ini mencerminkan antara keutamaan global yang paling mendesak ketika dunia berdepan perubahan iklim, pertumbuhan populasi, kekangan sumber dan gangguan terhadap sistem makanan.

 

“Sebagai universiti peneraju negara dalam bidang pertanian dan sains berkaitan UPM komited memperkukuh kecemerlangan dalam pendidikan, penyelidikan, inovasi dan penglibatan komuniti bagi menghasilkan penyelesaian berimpak tinggi kepada sektor agromakanan.

 

“Berpandukan Agenda True North UPM terus memperkasa penyelidikan rentas disiplin, melahirkan graduan yang bersedia menghadapi cabaran masa depan, memperluas kerjasama strategik serta memastikan hasil penyelidikan memberi impak bermakna kepada masyarakat dan pembangunan negara,” katanya.

 

Selain itu, COSAFS2026 menghimpunkan empat persidangan antarabangsa yang berlangsung serentak, iaitu International Scientific Conference on Indigenous Crops (ISCIC2026), International Conference on Fisheries and Animal Sciences (FISAS2026), International Conference on Food and Industrial Crops (ICFIC2026) serta 18th Conference and Exhibition of the International Society for Nutraceuticals and Functional Foods (ISNFF2026).

 

Kongress itu turut menampilkan empat tokoh antarabangsa sebagai pengucaptama, iaitu Naib Presiden Kanan Bahagian Pembangunan Industri Bioeconomy Corporation, Ts. Soeraya Satem Ahmad, Pengarah Urusan Hexagon Green Sdn. Bhd., Dr. Md. Yusuf Husin, Profesor Kehormat Pusat Pengajian Marin dan Pantai (CEMACS), Universiti Sains Malaysia merangkap Felo Akademi Sains Malaysia, Prof. Dato’ Dr. Aileen Tan Shau Hwai; serta Pengasas dan Pengarah ISNFF, Prof. Dr. Fereidoon Shahidi.

 

Majlis itu turut menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Universiti Putra Malaysia dan SEDC Nutreco Sdn. Bhd. bagi memperkukuh kerjasama dalam penyelidikan, inovasi, pembangunan teknologi dan pemerkasaan sektor agromakanan melalui sinergi strategik antara institusi akademik dan industri.

 

 

Turut hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Haji Mohamad Asfia Awang Nassar, Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr. Stephen Rundi Anak Utom, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Haji Mohamad Abu Bakar Marzuki, barisan kepimpinan kerajaan negeri serta wakil institusi pengajian tinggi, agensi kerajaan dan industri dari dalam serta luar negara.

 

WZIMGAO~