| Universiti Putra Malaysia

Cekal lawan kesusahan, Nur Sharmila buktikan latar belakang bukan penghalang kejayaan

Oleh:  Nazzimin Sahimean





BINTULU, 1 November – Di sebalik senyuman manis yang terpancar di wajah Nur Sharmila Haijal pada Majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) ke-49 Sidang 1, tersembunyi kisah perjuangan luar biasa seorang pelajar yang tidak pernah menyerah kepada kesusahan hidup.

Anak kepada seorang buruh binaan dan ibu yang menjual kuih, Sharmila membuktikan bahawa latar belakang keluarga bukan penghalang untuk menggenggam segulung ijazah. Sejak tahun kedua pengajian, beliau memilih untuk berdikari tanpa sebarang pinjaman pendidikan, sebaliknya melakukan pelbagai kerja sambilan bagi menampung perbelanjaan hidup sebagai mahasiswa UPM.

Antara pekerjaan yang pernah dilakukannya termasuk membantu menjual kuih dan air balang di pasar ikan, menjadi pembantu katering di majlis luar kampus, membantu perkhidmatan katering pelajar sekolah tahfiz, serta bekerja dengan syarikat katering hotel tempatan yang menuntut tenaga dan masa tinggi.

“Kadang-kadang saya hanya sempat berehat sekejap selepas kelas sebelum ke tempat kerja. Tapi saya selalu ingatkan diri, semua ini bukan sia-sia. Saya mahu bantu keluarga dan buktikan saya mampu berdikari,” katanya ketika ditemui selepas majlis konvokesyen.





Walaupun jadual hariannya padat antara kuliah dan kerja, Sharmila tetap menunjukkan komitmen tinggi dalam pengajian dan aktif dalam aktiviti kemahasiswaan. Beliau pernah dilantik sebagai Ahli Majlis Perwakilan Kolej (MPK) Kolej Sri Rajang, memperlihatkan keupayaan mengimbangi tanggungjawab akademik dan kepimpinan pelajar.

Kisah kejayaannya menjadi bukti bahawa kesusahan bukan penghalang, sebaliknya pemangkin untuk berjaya.

“Saya mahu buktikan bahawa kejayaan bukan milik mereka yang bernasib baik semata-mata, tetapi untuk mereka yang berusaha tanpa putus asa,” katanya penuh makna.

Kejayaan Nur Sharmila bukan sahaja simbol kecemerlangan akademik, tetapi juga lambang ketabahan dan daya juang mahasiswa UPM Sarawak yang menjadikan dugaan sebagai dorongan untuk terus melangkah ke hadapan, seiring dengan semangat universiti “Berilmu Berbakti.”

 

WYLDFA~