| Universiti Putra Malaysia

AMSA-UPM Diabetes Day 2026 perkukuh peranan universiti tingkat kesedaran pencegahan diabetes

 

 

 

 

 

Oleh: Zarith Sofea Ibrahim

 

SERDANG, 4 Jun – Universiti Putra Malaysia (UPM) menerusi Asian Medical Students’ Association UPM (AMSA-UPM) terus memperkukuh peranan universiti dalam memperkasa pendidikan kesihatan komuniti menerusi penganjuran AMSA-UPM Diabetes Day 2026 yang berjaya menghimpunkan lebih 1,300 peserta, baru-baru ini.

 

 

Penganjuran AMSA-UPM Diabetes Day 2026 mencerminkan komitmen berterusan UPM dalam memperluas agenda kesejahteraan komuniti menerusi pendidikan kesihatan, pencegahan penyakit dan pembudayaan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat.

 

 

Program itu menjadi platform penting dalam meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap pencegahan diabetes, kepentingan pengesanan awal serta amalan gaya hidup sihat secara berterusan.

 

 

Pengarah Program, Teoh Shi Min berkata, AMSA-UPM komited untuk mendekatkan masyarakat dengan ilmu kesihatan melalui pendekatan interaktif dan mesra komuniti.

 

 

“Melalui program ini, kami mahu meningkatkan kesedaran masyarakat tentang pentingnya pencegahan awal diabetes dan kepentingan mengamalkan gaya hidup sihat.

 

 

“Selain itu, program ini juga menjadi platform untuk mendekatkan masyarakat dengan maklumat kesihatan melalui aktiviti yang interaktif dan mesra komuniti,” katanya.

 

 

Selain itu, penganjuran program tersebut turut mendapat sokongan penuh daripada BE International Marketing Sdn Bhd, Garmin Malaysia Sdn Bhd, Tha Baba Events and Advertising Sdn Bhd dan Focus Point Caring Heart Charity Foundation.

 

 

Antara tarikan utama program ialah Larian Ria Diabetes yang disertai peserta daripada pelbagai peringkat umur sekali gus mencerminkan sokongan masyarakat terhadap usaha membudayakan gaya hidup aktif dan sihat.

 

 

Program itu turut menampilkan pelbagai reruai pendidikan interaktif seperti Diabetes Emergency, See Through Your Eye, Sugar Rock dan Move to Control yang memberi pendedahan mengenai diabetes serta penjagaan kesihatan secara menyeluruh.

 

 

 

Sementara itu, bersempena Hari Hipertensi Sedunia, program tersebut turut menampilkan sesi ucaptama dan demonstrasi oleh Prof. Dr. Ching Siew Mooi dan Dr. Suffian Sani Bin Sayuti yang memberi fokus kepada pengurangan pengambilan garam dalam mengawal tekanan darah serta kaitannya dengan diabetes dan obesiti.

 

 

Pelajar Tahun 1, Program Doktor Perubatan Veterinar (DVM), Fakulti Perubatan Veterinar (FPV), UPM, Amber Lim Pei Thung berkata, program berkenaan memberi pengalaman yang bermanfaat kepada peserta melalui pelbagai aktiviti interaktif yang disediakan.

 

 

“Reruai permainan yang disediakan amat menyeronokkan dan interaktif dan staf kesihatan juga sangat mesra serta memberikan nasihat kesihatan yang sangat berguna.

 

 

 

“Sistem giliran yang disusun dengan baik serta penyediaan tempat duduk untuk peserta menunggu menjadikan proses lebih lancar, teratur dan menjimatkan masa,” katanya.

 

 

Dalam pada itu, program tersebut turut dijayakan melalui kerjasama strategik bersama Diabetasol Malaysia, National Cancer Society Malaysia (NCSM), Roche Malaysia, Kiropraktik IMU serta Jabatan Radiologi dan Kejururawatan Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAAS), UPM.

WZGGVAa~