Oleh: Noor Eszereen Juferi
Foto Oleh: Mohammad Izrul Abdul Jabar
PORT DICKSON, 25 Mei - Seramai 127 kadet Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam (Kor SISPA) Universiti Putra Malaysia menyertai Kem Tahunan Kor SISPA UPM Sesi 2025/2026 yang menjadi platform strategik dalam melahirkan mahasiswa bukan sahaja cemerlang akademik, malah memiliki daya kepimpinan, ketahanan mental serta semangat kesukarelawanan yang tinggi.
Kem selama lima hari bermula 22 Mei itu berlangsung di Kolej Canselor dan Institut Antarabangsa Akuakultur dan Sains Akuatik (i-AQUAS), UPM menerusi penganjuran Kor SISPA UPM dengan kerjasama Pejabat Daerah Pertahanan Awam Hulu Langat dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.
Program tahunan itu turut menjadi sebahagian daripada penilaian rasmi anggota kadet semester satu di bawah Modul 1, iaitu Sijil Kursus Asas Pertahanan Awam. Melalui latihan berstruktur yang dijalankan, peserta didedahkan kepada aspek pengurusan organisasi, komunikasi berkesan, disiplin diri dan pengurusan krisis.
Majlis perasmian program disempurnakan Timbalan Komandan Kor SISPA UPM, Mejar Shahrudin Sahrani.
Sepanjang kem berlangsung, para peserta mengikuti pelbagai aktiviti berbentuk latihan dan pembangunan sahsiah termasuk Latihan Dalam Kumpulan (LDK), SISPA Challenge serta Malam Kebudayaan yang dirangka bagi menguji ketahanan fizikal dan mental di samping memperkukuhkan semangat kerjasama serta kepimpinan dalam kalangan kadet.
Sharudin berkata, program latihan seperti Kem Tahunan Kor SISPA memainkan peranan penting dalam membentuk mahasiswa yang lebih berdisiplin, berkeyakinan dan mempunyai jati diri yang kukuh.
“Penglibatan mahasiswa dalam program latihan dan kesukarelawan seperti ini bukan sahaja meningkatkan kemahiran insaniah dan kepimpinan malah dapat melahirkan graduan yang lebih bersedia menghadapi cabaran dunia pekerjaan serta berupaya menyumbang kepada masyarakat dan negara,” katanya.
Beliau berkata, pengalaman latihan secara menyeluruh dan berstruktur mampu melahirkan graduan yang bukan sahaja memiliki keupayaan akademik, malah cekap dalam aspek kepimpinan, komunikasi dan pengurusan krisis.
“Program seperti ini bukan sahaja menjadi medan latihan praktikal kepada kadet tetapi turut memperkukuhkan semangat setia kawan, disiplin dan tanggungjawab sosial dalam kalangan mahasiswa selaras dengan aspirasi UPM untuk melahirkan graduan holistik dan berdaya saing,” katanya.
Selain latihan kepimpinan dan ketahanan diri, program itu turut menekankan elemen kesukarelawanan serta khidmat komuniti menerusi penglibatan bersama masyarakat setempat bagi menyemai nilai prihatin, patriotisme dan tanggungjawab sosial dalam kalangan mahasiswa.
Penganjuran kem berkenaan selaras dengan aspirasi UPM dalam memperkasakan pembangunan graduan holistik dan seimbang yang mampu menjadi pemimpin masa depan serta aset penting negara.




.jpg)

