| Universiti Putra Malaysia

WAZAN Sedekad perkukuh agenda wakaf, zakat dan infak di UPM

 

 

Oleh: Husnina Zahra Hadri


Foto Oleh: Noor Azreen Awang

 

 

SERDANG, 22 Julai – Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Infak (WAZAN), Universiti Putra Malaysia (UPM), memperkukuh peranannya dalam pembangunan kebajikan, pendidikan dan kesejahteraan warga universiti menerusi sambutan WAZAN Sedekad 2026.

 

 

Penganjuran program bukan sahaja menjadi platform menghargai jasa tokoh dan rakan strategik WAZAN, malah menyaksikan pelancaran Inisiatif Wakaf Tunai UPM-Bank Rakyat, pertukaran memorandum persefahaman (MoU) bersama Bank Rakyat serta penyerahan semula dana zakat daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS).

 

 

Pengarah WAZAN UPM, Haris Dahlan berkata, sambutan sedekad penubuhan WAZAN bukan sekadar meraikan ulang tahun institusi itu, sebaliknya melambangkan komitmen berterusan universiti dalam membudayakan amalan wakaf, zakat dan infak sebagai instrumen pembangunan pendidikan serta tangggungjawab sosial.

 

 

“Sepanjang sedekad penubuhannya, WAZAN berjaya melaksanakan pelbagai inisiatif hasil sokongan warga UPM, para penyumbang dan rakan strategik.

 

 

“Dana yang disumbangkan dimanfaatkan untuk membantu pelajar dan staf, di samping memperkukuh pembangunan modal insan serta kemudahan pembelajaran di universiti,” katanya.

 

 

Menurut beliau, WAZAN turut memperkenalkan pelbagai inisiatif termasuk Biasiswa Wakaf Ilmu, Program Free Meal, Ziarah Mahabbah, Klinik Zakat dan Wakaf serta podcast WAZAN Kongsi bagi memperluas manfaat dan meningkatkan kesedaran warga universiti terhadap kepentingan berwakaf dan berzakat.

 

 

Sementara itu, Pendaftar UPM, Muhazam Mansor berkata kejayaan WAZAN hari ini adalah hasil komitmen berterusan semua pihak yang telah membangunkan institusi itu sejak penubuhannya.

 

 

“WAZAN tidak mungkin mampu bergerak sendirian tanpa sokongan warga universiti, alumni, penyumbang dan rakan strategik.

 

 

“Institusi ini telah membantu warga UPM dalam pelbagai aspek, sama ada kebajikan pelajar, kebajikan staf mahupun pembangunan fasiliti universiti, seterusnya menjadi antara tonggak kesejahteraan komuniti kampus,” katanya.

 

 

Beliau turut menyeru seluruh warga UPM untuk terus menunaikan zakat dan menyokong pembangunan dana wakaf secara konsisten bagi memastikan manfaat dapat disalurkan kepada lebih ramai penerima.

 

 

Program turut menyaksikan penyampaian Anugerah Jasa Bakti kepada bekas pengarah dan individu yang memainkan peranan penting dalam pembangunan WAZAN sebagai penghargaan atas sumbangan mereka.

 

 

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Wakaf Selangor, Anuar Hamzah Tohar, Ketua Divisyen Kutipan Lembaga Zakat Selangor, Muhd Fikri Naim Harun serta Ketua Pegawai Syariah Kumpulan Bank Kerjasama Rakyat Malaysia, Mohd Zamerey Abdul Razak.

WZIMGAR~