| Universiti Putra Malaysia

UPM Wakil Tunggal IPTA Malaysia Dalam Misi Sukarelawan Belia SBESCare Laos: ASEAN Youth Volunteerism

 

Oleh: Noor Eszereen Juferi

 

SERDANG, 25 Julai – Universiti Putra Malaysia (UPM) menerusi Majlis Perwakilan Pelajar Sekolah Perniagaan dan Ekonomi (SBESC), mencipta sejarah apabila program SBESCare Laos Mission: ASEAN Youth Volunteerism telah terpilih sebagai satu-satunya inisiatif pelajar daripada institusi pengajian tinggi awam (IPTA) Malaysia yang diluluskan untuk menggunakan logo rasmi ASEAN Malaysia 2025.

 

Pengiktirafan istimewa ini diberikan oleh Sekretariat Kebangsaan ASEAN – Malaysia, Kementerian Luar Negeri, yang merupakan badan berautoriti dalam hal ehwal ASEAN di peringkat negara. Ia sekali gus mengangkat program ini sebagai inisiatif sukarelawan belia bertaraf serantau yang diiktiraf secara rasmi oleh kerajaan Malaysia.

 

Program yang sejajar dengan tema “ASEAN Youth Volunteerism” ini akan berlangsung di Vientiane, Laos, dengan penyertaan aktif pelajar UPM dalam pelbagai aktiviti seperti misi komuniti, bengkel komunikasi silang budaya, sesi perkongsian kepimpinan pelajar serta interaksi bersama komuniti tempatan. Sebelum berlepas, para peserta akan mengikuti sesi persediaan intensif di Malaysia yang merangkumi latihan pengurusan, komunikasi, simulasi aktiviti sukarelawan dan pengenalan budaya Laos.

 

Dekan Sekolah Perniagaan dan Ekonomi UPM, Prof. Dr. Bany Ariffin Amin Noordin, menyifatkan pemilihan ini sebagai bukti bahawa aktiviti pelajar UPM menepati piawaian antarabangsa dan mempunyai nilai serta impak yang tersendiri.

 

“Keterlibatan universiti dalam inisiatif ASEAN Malaysia 2025 melalui program ini menyerlahkan komitmen UPM dalam melahirkan mahasiswa global yang berdaya saing dan berjiwa kepimpinan,” katanya.

 

Sementara itu, Presiden Majlis Perwakilan Pelajar SBESC bagi sesi 2024/2025, Nur Alia Sofiah Muhamad Azuan, pelajar Tahun 3 Bacelor Pentadbiran Perniagaan dengan Kepujian, menyatakan bahawa peluang ini merupakan bukti kepercayaan terhadap keupayaan mahasiswa UPM untuk mewakili negara di pentas antarabangsa.

 

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang menyokong program ini, khususnya Profesor Adjung SBE UPM, Dato’ Zuraidah Atan, serta rakan industri strategik, PayNet Malaysia, atas sumbangan melalui Geran Komuniti yang menjadi pemangkin utama kejayaan misi ini.

 

“Inisiatif sambutan Hari ASEAN 2025 di luar negara ini bukan sahaja membuka ruang untuk membina jaringan serantau, malah memperkukuh semangat ASEAN dalam kalangan belia UPM,” katanya.

 

Delegasi pelajar UPM juga dijadualkan menyambut Hari ASEAN 2025 di Vientiane dalam satu sesi khas bersama Kedutaan Besar Malaysia di Laos serta wakil pelajar daripada National University of Laos (NUOL).

XZKHFAi~