
SERDANG, 30 Jan - Universiti Putra Malaysia (UPM) menegaskan komitmen untuk menjadikan integriti sebagai asas utama dalam memperkukuh hala tuju strategik universiti bagi menghadapi cabaran tahun 2026 selari dengan pelaksanaan agenda True North UPM.
Naib Canselor UPM, Dato’ Prof. Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah berkata, True North bukan sekadar slogan, sebaliknya satu kerangka hala tuju bersama yang memerlukan kefahaman jelas peranan setiap warga universiti bagi memastikan UPM bergerak ke destinasi yang sama secara sedar dan berperingkat.
“Tahun ini merupakan masa yang tepat untuk UPM melonjak ke puncak kecemerlangan kerana kelemahan lampau telah diperbaiki, kekuatan sedia ada diperkasakan dan hasil yang dihasratkan kini mula dizahirkan,” katanya ketika menyampaikan Perutusan dan Amanat Naib Canselor UPM 2026 di sini, hari ini.

Beliau berkata, pengalaman dan cabaran yang dihadapi sepanjang 2025 perlu dijadikan pengajaran untuk membentuk tindak balas yang lebih tangkas, berkesan dan berintegriti.
“Harapan saya agar warga UPM menjalankan peranan masing-masing khususnya dalam mengurus isu secara berhemah agar tidak memberi kesan berpanjangan kepada reputasi universiti,” katanya
Dato’ Prof. Ir. Dr. Ahmad Farhan berkata, pencapaian agenda universiti tidak dapat direalisasikan secara individu atau dalam kumpulan kecil ianya memerlukan komitmen menyeluruh semua lapisan warga UPM termasuk staf, pelajar, alumni, pesara universiti serta rakan industri dan komuniti sebagai pemegang taruh strategik.

“Pelajar merupakan duta universiti. Kita mahu melahirkan graduan yang Berilmu Berbakti sejajar dengan moto universiti yang mencerminkan nilai dan reputasi UPM,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata keperluan UPM memposisikan diri sebagai rakan strategik negara dengan mengambil kira cabaran global termasuk perdagangan antarabangsa, geopolitik makanan serta penarafan universiti oleh agensi antarabangsa selaras dengan agenda pembangunan negara dan Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia 2026 hingga 2035.
“Pendekatan ini penting bagi memastikan universiti terus sealiran dengan agenda nasional negara,” katanya.
Menyentuh isu integriti, beliau mengingatkan bahawa pelanggaran nilai akhlak, etika dan profesionalisme oleh individu boleh menjejaskan reputasi universiti secara keseluruhan, justeru menuntut setiap warga UPM untuk sentiasa bermuhasabah dan saling menegur demi kebaikan bersama.
“Kita mahukan warga UPM yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik dan profesional, tetapi turut menjunjung tinggi nilai integriti, beretika serta bertanggungjawab dalam setiap Tindakan,” katanya.
Sementara itu, beliau turut menetapkan enam pemboleh daya strategik sebagai teras pengukuhan agenda institusi iaitu kecerdasan buatan dan pendigitalan, kelestarian kewangan, tadbir urus berakauntabiliti, penjenamaan dan komunikasi strategik, ekosistem data bersepadu serta peranan alumni sebagai aset strategik universiti.
“Kita juga mengenal pasti lima fokus utama hala tuju strategiknya merangkumi keterjaminan makanan, kesihatan planet dan kelestarian, kesohoran global, kesejahteraan warga serta pemerkasaan Jiwa Putra bagi memastikan universiti kekal relevan, berdaya saing dan berimpak tinggi menjelang matlamat jangka panjang 2050,” katanya.

.jpg)

.jpg)


