| Universiti Putra Malaysia

UPM universiti pertama luar China laksana FTTR Huawei, serlah kepimpinan digital Asia Pasifik

 

Oleh: Noor Eszereen Juferi

 

SERDANG, 24 Ogos – Universiti Putra Malaysia (UPM) mencatat pencapaian penting dalam transformasi digital apabila diiktiraf sebagai universiti pertama di luar China yang berjaya melaksanakan teknologi Fiber-to-the-Room (FTTR) Huawei, menyerlahkan keupayaan universiti menerajui penerapan teknologi rangkaian generasi baharu bagi pembangunan kampus pintar.

 

Pencapaian tersebut turut mendapat pengiktirafan di peringkat Asia Pasifik apabila pelaksanaan FTTR di UPM dipilih sebagai customer success story Huawei dan diketengahkan dalam sesi breakout keynote pada Huawei Network Summit (HNS) 2026 Asia Pacific, baru-baru ini.

 

Perkongsian itu memberi keterlihatan lebih luas terhadap pendekatan UPM dalam memanfaatkan teknologi rangkaian berkelajuan tinggi bagi membangunkan ekosistem kampus yang lebih terhubung, pintar dan bersedia menyokong keperluan teknologi masa hadapan.

 

Lebih bermakna, pengiktirafan tersebut hadir seiring genap 10 tahun kerjasama strategik UPM bersama Huawei, yang merangkumi pembangunan teknologi rangkaian, komunikasi data dan infrastruktur digital universiti.

 

Plak penghargaan sempena ulang tahun sedekad kerjasama strategik itu diterima oleh Ketua Seksyen Rangkaian ICT, Pusat Pembangunan Maklumat dan Komunikasi (iDEC), UPM, Ts. Sayid Mohamad Nazari Sayid Ismail yang mewakili universiti pada persidangan berkenaan.

 

Ts. Sayid Mohamad Nazari berkata, kerjasama strategik yang terjalin sepanjang sedekad itu menjadi antara pemangkin kepada usaha berterusan UPM memperkukuh infrastruktur digital universiti serta menyediakan persekitaran kampus yang menyokong perkembangan teknologi baharu.

 

“Kerjasama ini bukan hanya tertumpu kepada pembangunan rangkaian dan infrastruktur digital, malah menjadi asas kepada pembentukan ekosistem kampus yang lebih bersedia menyokong perkembangan kecerdasan buatan (AI), Internet of Things (IoT), pembelajaran digital dan perkhidmatan pintar.

 

“Pengiktirafan terhadap pelaksanaan FTTR di UPM di pentas Asia Pasifik membuktikan keupayaan universiti dalam mengadaptasi teknologi rangkaian generasi baharu serta memperkukuh kedudukan UPM sebagai antara institusi pendidikan tinggi yang aktif menerajui transformasi digital,” katanya.

 

Teknologi FTTR membolehkan sambungan rangkaian berasaskan gentian optik diperluaskan terus ke ruang atau bilik pengguna, sekali gus menyokong keperluan terhadap sambungan berkelajuan tinggi, kestabilan rangkaian dan kesediaan infrastruktur bagi aplikasi digital yang semakin kompleks.

 

Sementara itu, HNS 2026 Asia Pacific yang bertemakan “Xinghe Intelligent Network, Innovations Never Stop” menghimpunkan kira-kira 300 peserta daripada pelbagai sektor untuk meneroka perkembangan terkini berkaitan rangkaian pintar, AI, keselamatan siber dan transformasi digital.

 

Penyertaan serta pengiktirafan di pentas HNS 2026 Asia Pacific itu memperlihatkan kerjasama strategik antara institusi pendidikan tinggi dan pemain teknologi global dapat mempercepat penerapan teknologi baharu serta menyokong aspirasi UPM membangunkan kampus pintar yang berdaya saing dan berorientasikan masa hadapan.

XZKKDAz~