
Oleh: Noor Eszereen Juferi
Foto Oleh: Mohammad Izrul Abdul Jabar
SHAH ALAM, 30 Jun – Universiti Putra Malaysia (UPM) hari ini mengumumkan penukaran nama Kampus Bintulu kepada Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) yang disempurnakan oleh Tuanku Canselor UPM, Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah di sini, hari ini.
Pengisytiharan rasmi ini yang dilancarkan di Istana Alam Shah merupakan langkah strategik selaras dengan visi UPM untuk memperkukuh kedudukannya sebagai peneraju dalam bidang pertanian, keterjaminan makanan, pembangunan lestari dan pengukuhan komuniti di Malaysia Timur.

Naib Canselor UPM, Dato’ Prof Ir. Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah, berkata penjenamaan semula ini menandakan komitmen berterusan UPM dalam menyokong agenda pembangunan negara dan meningkatkan keterlibatan dengan komuniti di Malaysia Timur selaras dengan matlamat institusi sebagai universiti bereputasi global.
“UPMS memainkan peranan penting dalam memperkukuh keupayaan negara khususnya dalam sektor pertanian dan makanan serta memberi manfaat langsung kepada masyarakat melalui pendidikan, penyelidikan dan inovasi.
“Harapan saya agar UPMS terus komited melakar kecemerlangan ilmu dan menyokong agenda pembangunan negara secara holistik yang menyumbang kepada pembangunan Sarawak dan rantau Borneo menerusi pelbagai inisiatif,” katanya.
Hadir sama pada majlis berkenaan, TYT Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Dr. Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg, Menteri Pendidikan Tinggi, Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, YAB Dato’ Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari dan Pengarah UPMS, Prof. Dr. Shahrul Razid Sarbini.

Selain itu, antara kerjasama strategik antara UPMS dan Kerajaan Sarawak termasuk projek Transformasi Padi AgriHub@Gedong UPMKB yang bertujuan menjadikan Sarawak sebagai hab pengeluaran padi berimpak tinggi di peringkat nasional.
Penubuhan Kursi PUSAKA UPM bekerjasama dengan Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak bagi memperkukuh usaha penyelidikan dalam bidang pengurusan hutan tropika dan tenaga boleh diperbaharui. Bagi Kursi Penyelidikan Pehin Sri Adenan Satem (Kursi Tok Nan) mempergiat kajian berkaitan etnik dan antropologi masyarakat Sarawak.

UPMS juga mengetuai Konsortium Universiti Universitas Borneo (KUUB) yang berperanan sebagai platform strategik kerjasama serantau yang melibatkan 16 universiti di Kepulauan Borneo dalam bidang pengajaran, penyelidikan dan mobiliti akademik.
Dalam pada itu, UPMS sedang mengorak langkah menubuhkan kampus baharu, termasuk Sekolah Veterinar dan Sains Haiwan (SVAS) di Kuching serta memperkukuh pengembangan pusat penyelidikan di Gedong.
Sebelum ini, UPMKB telah berkembang pesat dari hanya menawarkan dua program Diploma kepada sembilan program Diploma, lima program Bacelor, serta 51 bidang pengkhususan dalam program pengajian Master dan PhD melalui penyelidikan.
Sebagai institusi pengajian tinggi tertua di Sarawak, kampus ini telah melalui pelbagai fasa transformasi sejak penubuhannya pada 10 Ogos 1974 di Natural Resources Training Centre, Semenggok, Kuching, sebelum berpindah ke kampus tetap di Bintulu pada Jun 1987.
Kini, sebagai usaha memperkukuhkan peranannya sebagai hab pendidikan dan penyelidikan di rantau Borneo, pada tahun 2020, tiga entiti baharu telah ditubuhkan antaranya Institut Ekosistem Borneo Sains (IEB) kini menerajui penyelidikan berimpak tinggi dalam bidang pertanian dan perhutanan, Fakulti Sains Pertanian dan Perhutanan (FSPH) serta Fakulti Kemanusiaan, Pengurusan dan Sains (FKPS) yang turut memainkan peranan penting dalam memperkasakan pendidikan di Sarawak.



.jpg)


