| Universiti Putra Malaysia

UPM terima kunjungan hormat MIMOS Services, teroka kerjasama strategik teknologi tenaga masa depan, BESS dan AI


 

Oleh: Noor Eszereen Juferi

Foto Oleh: Mohammad Izrul Abdul Jabar

 

 

SERDANG, 14 November – Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Dato’ Prof. Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah, menerima kunjungan hormat daripada MIMOS Services Sdn. Bhd. (MSSB) bagi membincangkan kerjasama strategik dalam bidang tenaga boleh diperbaharui, pembangunan Battery Energy Storage System (BESS) serta aplikasi kecerdasan buatan (AI) untuk penyelesaian industri berimpak tinggi.

 

Kunjungan yang diketuai Ketua Pegawai Eksekutif MSSB, Mohamad Fauzi Yahaya bersama delagasinya menekankan kepentingan sinergi akademia–industri dalam mempercepat agenda inovasi teknologi negara, khususnya dalam sektor tenaga lestari dan transformasi digital.

 

Dalam pertemuan tersebut, Dato’ Prof. Ir. Dr. Ahmad Farhan berkata UPM kini memberi tumpuan kepada pembangunan chatbot Blueprint Keterjaminan Makanan UPM sebagai inisiatif digital yang memudahkan rujukan dan memperluas akses kepada penyelesaian teknologi pertanian negara.

 

“UPM komited untuk menerajui penyelidikan dan pembangunan teknologi dan pembangunan chatbot berkaitan blueprint keterjaminan makanan ini adalah antara usaha kami untuk menyokong penyebaran maklumat serta memperkasa solusi digital pertanian negara,” katanya.

 

Mohamad Fauzi, berkata MSSB melihat UPM sebagai rakan strategik ideal kerana kekuatan universiti dalam penyelidikan merentas disiplin, infrastruktur makmal bertaraf tinggi serta kepakaran tenaga akademik dalam teknologi tenaga, AI dan sistem kritikal.

 

“UPM mempunyai ekosistem penyelidikan yang kukuh serta kepakaran dalam pelbagai bidang serta ini membuka peluang kerjasama berskala besar yang memberi manfaat kepada industri dan negara,” katanya.

 

Kerjasama ini dijangka memberi tumpuan kepada pembangunan BESS generasi baharu, integrasi tenaga boleh diperbaharui pada skala industri, serta penyelidikan aplikasi AI untuk pengurusan tenaga, autonomi sistem dan peningkatan kecekapan operasi.

 

Turut hadir, Ketua Pegawai Pembangunan Perniagaan Puan Saidatul, MSSB, Prof. Ir. Dr. Ahmad Nizar Harun dan Ketua Pemasaran dan Jualan, MSSB, Farrah Muhammad Johar, Dekan Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (FSKTM), Dato' Prof. Dr. Shamala K. Subramaniam, Dekan Fakulti Kejuruteraan, Profesor Ir. Dr. Mohd Zainal Abidin Ab. Kadir dan Timbalan Pengarah (Infrastruktur dan Perkhidmatan ICT) dan Pusat Pembangunan Maklumat dan Komunikasi (iDEC), Ts. Syemsul Bahrim Abdul.

 

 

 

XZKHFAd~