Oleh: Noor Eszereen Juferi
SERDANG, 10 Julai – Universiti Putra Malaysia (UPM) terus mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju pendidikan tinggi mampan apabila berkongsi model transformasi kurikulum berasaskan kelestarian Malaysia pada Persidangan Pembelajaran Sepanjang Hayat ASAIHL 2026 yang berlangsung di Universiti Malaysia Sabah (UMS), baru-baru ini.
Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), UPM, Prof. Ir. Dr. Abd Rahim Abu Talib, mewakili Malaysia menerusi pembentangan Country Paper 1 – Malaysia bertajuk Advancing Southeast Asian Higher Education for Sustainable Development: Sustainable Innovation through Digital & Curriculum Transformation, yang mengetengahkan pendekatan UPM dalam memperkukuh pendidikan untuk pembangunan mampan (Education for Sustainable Development, ESD).
Beliau berkata, UPM telah mentransformasikan kurikulum akademik selaras dengan Rangka Kerja Kelayakan Malaysia (MQF) Edisi Kedua 2024 melalui pengenalan Kompetensi Kelestarian sebagai Hasil Pembelajaran Program (Programme Learning Outcome 12, PLO12), yang diwajibkan kepada semua pelajar daripada peringkat diploma hingga doktor falsafah.
“Transformasi ini memastikan setiap graduan UPM bukan sahaja memiliki kepakaran dalam bidang masing-masing, malah mempunyai keupayaan menangani cabaran global seperti perubahan iklim, keterjaminan makanan, biodiversiti dan kesihatan planet,” katanya.
Tambah beliau, pelaksanaan kompetensi kelestarian dilaksanakan secara berperingkat menerusi pendekatan Accumulating Strategy, yang mengintegrasikan elemen kelestarian ke dalam lapan kursus prasiswazah dan empat kursus pascasiswazah.
“UPM turut membangunkan sistem digital PutraOBE yang membolehkan pencapaian Kompetensi Kelestarian pelajar dipantau serta dipetakan secara masa nyata. Melalui sistem itu, universiti menetapkan sasaran supaya semua graduan mencapai sekurang-kurangnya satu daripada lapan Kompetensi Kelestarian yang ditetapkan sebelum menamatkan pengajian,” katanya.
Prof. Ir. Dr. Abd Rahim berkata, pendekatan bersepadu itu mencerminkan komitmen UPM dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah berfikiran global, bertanggungjawab kepada masyarakat serta mampu menjadi ejen perubahan ke arah pembangunan lestari.
“Pendekatan ini turut mengukuhkan peranan UPM sebagai universiti peneraju dalam bidang pertanian, keterjaminan makanan dan inovasi kehidupan, selaras dengan aspirasi universiti untuk menyumbang kepada penyelesaian cabaran global menerusi pendidikan, penyelidikan dan inovasi,” katanya.
Usaha ini membuktikan komitmen berterusan UPM dalam merealisasikan aspirasi Pelan Pemacu Kesohoran Global Putra 2026–2035 melalui strategi pengantarabangsaan yang memperkukuh keterlihatan universiti di peringkat antarabangsa, memperluas jaringan kerjasama global serta memacu kecemerlangan UPM secara mampan.



.jpg)


