Oleh: Husnina Zahra Hadri
Foto Oleh: Saleha Haron

SERDANG, 9 Jun – Universiti Putra Malaysia (UPM) terus memperkukuh komitmennya terhadap agenda kelestarian menerusi Sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia 2026 peringkat UPM yang menghimpunkan warga universiti dalam usaha memperkukuh kesedaran terhadap isu kesihatan planet dan kelestarian.
Naib Canselor UPM, Dato’ Profesor Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah FASc, berkata sambutan itu menjadi platform penting untuk meningkatkan kesedaran warga universiti mengenai tanggungjawab bersama dalam menjaga kesejahteraan alam sekitar dan kesihatan planet.
“Melalui sambutan ini, kita bukan sekadar meraikan Hari Alam Sekitar Sedunia, tetapi mengukuhkan kefahaman mengenai peranan setiap individu dalam memastikan kelestarian alam sekitar dapat dipelihara untuk generasi akan datang.

“Agenda kelestarian ini memerlukan komitmen menyeluruh daripada semua pihak, termasuk pengurusan universiti, warga akademik, kakitangan dan pelajar bagi memastikan setiap inisiatif yang dirancang dapat dilaksanakan secara berkesan,” katanya.
Menurut beliau, usaha memperkasakan kesihatan planet turut membuka ruang kepada komuniti ilmuan untuk meneroka penyelidikan dan penyelesaian baharu yang mampu menyumbang kepada pembangunan negara dan kesejahteraan masyarakat.
Sementara itu, Timbalan Pengarah (Pengurusan Strategik), Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat (PSPK) UPM, Dr. Ahmad Salahuddin Mohd Harithuddin berkata, sambutan bertemakan Inspired by Nature, For Climate, For Our Future itu selaras dengan cabaran semasa yang melibatkan perubahan iklim, pencemaran alam sekitar dan ketidakseimbangan ekosistem.

“Program ini merupakan antara program berimpak tinggi sempena Bulan Sinergi Putra yang bertujuan menyemarakkan semangat kebersamaan, tanggungjawab sosial dan kelestarian dalam kalangan warga UPM.
“Saya percaya perubahan besar bermula daripada langkah-langkah kecil yang dilaksanakan secara bersama. Setiap tindakan yang dilakukan, sama ada dalam penggunaan tenaga, pengurusan sisa atau amalan gaya hidup lestari, mampu memberi kesan positif kepada masa depan yang lebih mampan,” katanya.
Beliau berkata pelbagai aktiviti dirangka bagi menggalakkan penglibatan aktif warga kampus dalam menyokong agenda kelestarian universiti.

Antara pengisian yang diadakan sempena sambutan tersebut termasuk forum pelancaran UPM Planetary Health and Sustainability Blueprint, pertandingan inovasi kelestarian (Pusat Tanggungjawab), pertandingan TikTok gaya hidup lestari serta pelbagai aktiviti yang memfokuskan kepada kesedaran alam sekitar.






