Oleh: Ameesya Aghniya Ab Rahim
BINTULU, 1 November – Keinginan untuk menyumbang kepada pembangunan ilmu dan keselamatan industri mendorong Abdani Abdul Gafor, 62, pelajar Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar (SHES) di Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS), melaksanakan kajian berimpak tinggi berkaitan penilaian risiko bahan kimia berbahaya di Pelabuhan Bintulu.
Berpengalaman luas dalam bidang pengurusan keselamatan industri, Abdani berkata minatnya terhadap bidang Occupational Safety and Health (OSH) timbul daripada kesedaran bahawa pengurusan keselamatan di tempat kerja kini bukan lagi sekadar keperluan undang-undang, tetapi sebahagian daripada strategi korporat yang mencerminkan nilai kemanusiaan dan kelestarian organisasi.
“Dalam dunia industri moden, aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan perlu diberi tumpuan serius kerana ia mempengaruhi kesejahteraan fizikal, mental dan produktiviti pekerja. Organisasi yang menitikberatkan OSH mampu berkembang secara mampan dan berdaya saing di peringkat global,” katanya.
Abdani menjelaskan, keputusan melanjutkan pengajian di UPMS dibuat bagi memperkukuh kefahaman akademik dan berkongsi pengalaman praktikal yang diperoleh sepanjang kerjayanya dalam industri pelabuhan.
“Saya percaya platform akademik UPM memberi ruang untuk saya menyumbang secara bermakna kepada masyarakat dan industri. Pengalaman ini bukan sahaja memperkukuh kepakaran dalam bidang OSH, tetapi juga menyediakan asas kukuh bagi mereka yang berminat menceburi industri petrokimia, pengangkutan dan pelabuhan,” ujarnya.
Menurut beliau, sektor pengangkutan dan pelabuhan menuntut tahap keselamatan yang tinggi kerana melibatkan pengendalian jentera berat, bahan berbahaya serta operasi logistik yang kompleks. Kajian doktornya memberi tumpuan kepada pelaksanaan Penilaian Risiko Kuantitatif (QRA) bagi operasi pengendalian dan pemuatan ammonia anhidrat di Pelabuhan Bintulu, iaitu bahan kimia toksik yang dikendalikan pada suhu kriogenik dan tekanan tinggi.
“Kebocoran ammonia boleh memberi kesan besar terhadap kesihatan manusia dan persekitaran. Kajian ini turut menilai risiko sosial menggunakan lengkung F–N, yang mengaitkan kekerapan insiden dengan potensi kematian, bagi memahami impak keselamatan kepada komuniti sekitar pelabuhan,” jelasnya.
Mengulas cabaran sepanjang pengajian, Abdani mengakui peralihan daripada dunia korporat ke dunia akademik menuntut penyesuaian minda dan pendekatan.
“Dalam dunia kerja, saya terbiasa membuat keputusan pantas dan berorientasikan hasil, tetapi dalam dunia akademik, saya perlu berfikir lebih reflektif dan berasaskan bukti. Saya yakin gabungan pengalaman industri dan semangat untuk belajar dapat menghasilkan penyelidikan yang relevan serta memberi manfaat kepada dunia sebenar,” katanya.



.jpg)


