| Universiti Putra Malaysia

UPM-RITSUMEIKAN perkukuh kerjasama bioteknologi menerusi Bio-Trek Fusion Summer School

 

Oleh: Zarith Sofea Ibrahim

 

Foto oleh: Mozaid Idris

 

SERDANG, 21 Ogos – Universiti Putra Malaysia (UPM) terus memperkukuh hubungan akademik dan pertukaran pengalaman dengan Ritsumeikan University, Jepun menerusi penganjuran Putra Experience: Bio-Trek Fusion Summer School 2026 yang menggabungkan pembelajaran bioteknologi, aktiviti makmal dan pendedahan budaya.

 

 

Program yang memasuki edisi ketiga itu menghimpunkan 22 pelajar dari Jepun untuk mengikuti pelbagai aktiviti akademik dan pengalaman pembelajaran di Fakulti Bioteknologi dan Sains Biomolekul (FBSB), UPM.

 

 

Pengerusi Putra Experience: Bio-Trek Fusion Summer School 2026, Profesor Madya Dr. Normi Mohd Yahaya berkata, program tahun ini memperkenalkan modul baharu serta penambahbaikan modul sedia ada bagi memberikan pengalaman pembelajaran yang lebih bermakna kepada para peserta.

 

 

“Antara aktiviti yang dirancang merangkumi pengasingan DNA untuk forensik makanan, yang dikendalikan oleh Prof. Madya Dr. Siti Sarah Othman, percetakan tiga dimensi menggunakan biomassa di bawah kendalian Prof. Madya Dr. Mohd Zulkhairi Mohd Yusoff, biokimia fotosintesis bersama Dr. Suhaili Shamsi serta pengasingan mikroorganisma daripada persekitaran yang diterajui oleh Dr. Muhamad Afiq Mohamed Akbar,” katanya.

 

 

Menurut beliau, program berkenaan turut memberi ruang kepada pelajar untuk meneroka aspek sosial, budaya dan sejarah Malaysia menerusi lawatan ke Putrajaya, Kuala Lumpur dan Melaka.

 

 

Beliau berkata, gabungan pengalaman akademik dan budaya itu diharap dapat memberikan pengalaman yang positif dan bermakna kepada peserta, di samping mengukuhkan hubungan antara UPM dan rakan kerjasama dari Jepun.

 

 

Sementara itu, wakil Ritsumeikan University, Prof. Dr. Tsukasa Yamanaka berkata, penganjuran program berkenaan yang memasuki tahun ketiga membuktikan perkembangan positif kerjasama antara kedua-dua universiti.

 

 

 

Beliau berkata, program yang pada asalnya bermula sebagai satu inisiatif kecil kini berkembang hasil kepercayaan dan sokongan pelajar serta kedua-dua institusi.

 

 

“Pelajar kami datang bukan hanya untuk mempelajari biologi atau teknologi biologi di makmal, tetapi untuk memahami bagaimana ilmu pengetahuan dan inovasi dapat memberi kesan kepada masyarakat serta menyumbang kepada pembangunan negara,” katanya.

 

 

Beliau turut berharap pengalaman sepanjang program dapat memberikan perspektif lebih luas kepada pelajar, selain membina persahabatan dan jaringan profesional yang berpanjangan.

 

 

Menurutnya, hubungan Malaysia dan Jepun yang dibina berasaskan rasa hormat dan pembelajaran bersama turut menjadi asas penting kepada program berkenaan, khususnya dalam membuka peluang baharu kepada pelajar dan penyelidik kedua-dua negara.

 

 

Dalam pada itu, Timbalan Dekan (Akademik, Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), FBSB, Profesor Madya Dr. Nik Mohd Afizan Nik Abd Rahman berkata, biosains kini tidak lagi terbatas kepada bidang atau sempadan tertentu, sebaliknya memerlukan gabungan idea, kaedah dan budaya bagi menangani cabaran global.

 

 

 

Isu seperti pertanian mampan, sisa biologi, bahan baharu, keselamatan makanan, kelestarian alam sekitar dan kesihatan memerlukan pendekatan rentas disiplin serta kerjasama antara komuniti akademik.

 

 

“Sepanjang program ini, para peserta akan melalui pengalaman melalui kuliah, aktiviti amali, lawatan makmal, penerokaan kampus, penghayatan budaya dan perbincangan yang diharapkan dapat mencetuskan minat serta membina jaringan profesional untuk jangka panjang,” katanya.

 

 

Beliau berkata, program berkenaan bukan sahaja memberi peluang kepada peserta memperluas pengetahuan di luar bidang akademik, malah membina persahabatan dan jaringan profesional yang dapat memberi manfaat pada masa hadapan.

XZKKEAi~