| Universiti Putra Malaysia

UPM perkukuh hubungan akademik Malaysia-Poland menerusi pelancaran buku pembangunan bandar Warsaw

 

 

 

Oleh: Zarith Sofea Ibrahim

 

Foto oleh: Muhammad Syuqqree Bin Mohd Dain

 

 

SERDANG, 25 Mei – Universiti Putra Malaysia (UPM) menerusi Fakulti Rekabentuk dan Senibina (FRSB) terus memperkukuh jaringan kerjasama antarabangsa apabila menganjurkan Majlis Pelancaran Buku Urban Development of Warsaw: On A Trajectory of Changing Urban Landscapes – A Comparative Analysis with Kuala Lumpur di Galeri Serdang, FRSB, baru-baru ini.

 

 

Majlis itu dirasmikan oleh Naib Canselor UPM, Dato’ Prof. Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah FASc dan turut dihadiri Duta Besar Republik Poland ke Malaysia, TYT Mr. Krzysztof Dobrowolski, delegasi akademik dari University of Warsaw serta wakil Kedutaan Poland.

 

 

Dato’ Prof. Ir. Dr. Ahmad Farhan berkata, penerbitan buku tersebut mencerminkan komitmen UPM dalam memperluas kerjasama global khususnya dalam bidang pembangunan bandar, kelestarian dan kesejahteraan masyarakat.

 

 

 

“Pembangunan bandar yang semakin pesat perlu dilaksanakan secara seimbang dengan penekanan terhadap kemampanan dan kesihatan planet selaras dengan aspirasi UPM melalui agenda planetary health.

 

 

“Universiti turut berperanan penting dalam memahami cabaran perubahan landskap bandar serta memperkasa kesejahteraan masyarakat menerusi pembangunan Lestari,” katanya ketika berucap pada majlis itu.

 

 

 

TYT Mr. Krzysztof berkata, penerbitan buku berkenaan menjadi simbol penting sempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia dan Poland, selain mencerminkan hubungan akademik yang semakin kukuh antara kedua-dua negara.

 

 

“Buku ini bukan sahaja menjadi dokumentasi akademik malah mampu menjadi sumber inspirasi kepada pelajar dan penyelidik untuk terus meneroka bidang pembangunan bandar serta hubungan dua hala Malaysia-Poland,” katanya.

 

 

 

 

Dalam pada itu, Timbalan Dekan Fakulti Rekabentuk dan Senibina (FRSB), UPM, Prof. Madya Dr. Shureen Faris Abd Shukor, berkata kerjasama antara FRSB, UPM dan Kedutaan Poland telah bermula sejak 2015 menerusi penganjuran pameran Polish Architecture and Urbanism di Galeri Serdang.

 

 

Katanya, hubungan itu terus berkembang melalui pelbagai inisiatif akademik termasuk pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara UPM dan universiti di Poland seperti  Kazimierz Wielki University pada 2019 serta Academy of Fine Arts in Gdansk pada 2022.

 

 

“Kerjasama ini turut melibatkan pelbagai program seperti pameran seni, pertukaran staf Erasmus+ dan aktiviti akademik yang memberi manfaat kepada kedua-dua institusi,” katanya.

 

 

Majlis itu turut mengadakan tiga sesi perkongsian ilmu oleh akademik dari Poland iaitu Dr. Katarzyna Wagner menerusi sesi History of Warsaw, Dr. Marek Kozlowski melalui tajuk Warsaw and Kuala Lumpur – What Can the Two Cities Learn From Each Other serta Profesor Hubert Kowalski yang membincangkan topik Heritage and Modernity – University Campuses in Poland.

 

 

Sesi perkongsian itu memberi pendedahan mengenai sejarah Warsaw, pembangunan bandar, pertukaran idea antara Warsaw dan Kuala Lumpur serta keseimbangan antara warisan dan pemodenan institusi pendidikan tinggi di Poland.

WZGGIA~